Dr. Abishek melakukan pembedahan ke atas pesakitnya manakala tunangnya membantunya dalam prosedur simulasi.
BENGALURU: Seorang doktor kontrak yang bekerja di sebuah hospital kerajaan di Karnataka, India dipecat selepas terlibat dalam sesi fotografi praperkahwinan di bilik pembedahan.
Video yang memaparkan insiden itu tular di media sosial dan mencetuskan kemarahan dan mendorong tindakan pantas dari kerajaan negeri Karnataka.
Menurut Utusan Malaysia, NDTV melaporkan, rakaman itu menunjukkan Dr. Abishek melakukan pembedahan ke atas pesakitnya manakala tunangnya pula membantunya dalam prosedur simulasi.
Dalam video tersebut, pasangan itu juga dilihat menggunakan alat perubatan dan dikelilingi lampu bilik bedah.
Sesi penggambaran berkisar mengenai tema perubatan dan video diakhiri dengan pesakit duduk ketawa selepas pembedahan olok-olok.
Selepas menerima kritikan hebat di media sosial, Menteri Kesihatan Karnataka, Dinesh Gundu Rao mengarahkan Dr. Abishek dipecat dengan serta-merta.
Menteri itu menekankan bahawa `hospital kerajaan bertujuan menawarkan perkhidmatan kepada orang ramai dan bukannya digunakan untuk kerja peribadi’.
Malah, Dinesh turut menegaskan tidak sama sekali akan bertolak ansur dengan sikap `tidak berdisiplin’ sedemikian.
“Seorang doktor yang melakukan penggambaran praperkahwinan di bilik bedah milik Hospital Kerajaan Bharamasagar di Chitradurga diberhentikan daripada perkhidmatan.
“Hospital kerajaan ditubuhkan bagi penjagaan kesihatan orang ramai dan bukannya untuk kerja peribadi,” katanya.
Tambah menteri itu, semua kakitangan kontrak termasuk doktor dan petugas di jabatan kesihatan harus menjalankan tugas mereka mengikut peraturan perkhidmatan kerajaan.