Rosmadi (dua dari kiri) dan Dr. Mohammed Azman (dua dari kanan) selepas menandatangani MoU tersebut.
KOTA KINABALU: Sekretariat Sabah Maju Jaya (Sekretariat SMJ) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi Program Sinergi Sosial untuk bekerjasama dalam memperkukuhkan Program Menoktahkan Miskin Tegar di Sabah.
Selain itu, ia juga untuk menetapkan landasan bagi kerjasama jangka masa panjang kepada program-program menoktahkan miskin tegar di negeri ini yang akan memberikan manfaat kepada kedua-dua pihak dan juga kepada golongan sasar program tersebut.
MoU tersebut menyaksikan kerjasama dalam Pelaksanaan Program Sinergi Sosial Secara Individu dan Berkelompok bagi Program Menoktahkan Kemiskinan Tegar Di Sabah, Jalinan Kerjasama Strategik Bersama Agensi-Agensi Pemberi Bantuan Di Negeri Ini, Perkongsian Kepakaran Teknologi Maklumat, Program Kesedaran Perlindungan Keselamatan Sosial, Program Intervensi Pasaran Kerja dan Perkongsian Data.
Kerjasama ini memperlihatkan komitmen kedua-dua pihak dalam memperkukuhkan Program Menoktahkan Miskin Tegar di Sabah dengan jalinan kepakaran dan sumber teknologi selari dengan Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya 1.0: 2021-2025 iaitu Teras M: Modal Insan dan Kesejahteraan Rakyat dan Pemboleh Daya 3: Keberkesanan dan Kecekapan Penyampaian.
Sekretariat SMJ dalam kenyataan memaklumkan majlis menandatangani MoU tersebut diadakan di Pejabat Sekretariat Sabah Maju Jaya, Tingkat 15, Menara Kinabalu, di sini.
Ia ditandatangani oleh Datuk Haji (Datu) Rosmadi Datu Sulai, Ketua Pegawai Penyelaras Sekretariat Sabah Maju Jaya mewakili Kerajaan Negeri Sabah dan Dato’ Sri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, PERKESO. Turut hadir ialah Ramlee Kariah, Ketua Pegawai Operasi Sekretariat Sabah Maju Jaya dan Dr. Mohd Ali Hindia, Pengarah PERKESO Negeri Sabah.
Sekretariat SMJ memaklumkan, Kerajaan Negeri terus komited dalam usaha menoktahkan miskin tegar di Sabah menjelang tahun 2024.
Ke arah usaha itu, Kerajaan Negeri melalui Sekretariat SMJ, Jabatan Ketua Menteri telah dipertanggungjawabkan bagi menerajui dan menyelaras inisiatif serta program menoktahkan miskin tegar di negeri ini.