Pemain perseorangan badminton Malaysia, Lee Zii Jia pada sesi latihan pasukan badminton Malaysia pada Selangor Badminton Asia Team Championships 2024 di Pusat Konvensyen Setia City, Setia Alam. Foto/Afiq Razali
SHAH ALAM: Pemain perseorangan profesional lelaki negara, Lee Zii Jia berada di momentum terbaik menjelang Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2024 yang bermula hari ini.
Menurut Utusan Malaysia, Zii Jia yang menghuni ranking ke-10 dunia sebelum ini menjalani latihan di Korea Selatan selama 11 hari sebagai persediaan untuk memberikan saingan sengit kepada lawan di BATC nanti.
Mengulas mengenai saingan peringkat kumpulan, Zii Jia berkata, Taiwan akan menjadi cabaran terkuat buat kem negara berbanding dua lagi lawan lain iaitu Brunei dan juga Kazakhstan.
“Berlatih di Korea amat menakjubkan. Kelebihan fasiliti dan pusat latihan yang maju memberi saya satu latihan dan pengalaman yang meningkatkan strategi saya ketika di dalam gelanggang.
“Saya berlatih bersama pemain Korea Selatan yang lain. Mereka melayani saya dengan cukup bagus sampai saya sendiri tidak merasakan saya orang luar.
“Sasaran kami hanya untuk mengalahkan Taiwan dimana saya lihat mereka menghantar pemain perseorangan dan beregu yang agak sukar untuk ditewaskan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menguji gelanggang di Pusat Konvensyen Setia Alam, semalam.
Sementara itu, Zii Jia mahu skuad lelaki negara bekerja keras untuk mempertahankan kejuaraan pada BATC kali ini.
“Pada dua aksi pertama nanti (Brunei dan Kazakhstan) ia hanya aksi pemanas badan kepada kami. Ini satu peluang kepada kami untuk mara ke suku akhir dengan bertemu dua negara ini sebelum menentang Taiwan, Khamis ini,” katanya.
Dua pasukan teratas setiap kumpulan layak ke suku akhir manakala empat pasukan terbaik kejohanan kali ini layak secara automatik ke pusingan akhir Piala Thomas dan Uber yang bakal berlangsung di Chengdu, China, April depan.






























