Raja Charles III
LONDON: Raja Britain, Raja Charles III disahkan menghidap kanser 18 bulan selepas menaiki takhta.
Penyakit kanser tersebut dikesan semasa rawatan baru-baru ini ketika baginda menjalani rawatan akibat masalah prostat.
Menurut Utusan Malaysia, Istana Buckingham semalam mengumumkan Raja Charles, 75, sudah memulakan rawatan selepas kembali ke London dari Sandringham di Norfolk namun tidak memperincikan jenis kanser dan tahap kritikalnya.
Baginda juga dilaporkan akan menangguhkan tugas membabitkan penampilan awam ketika menjalani rawatan tetapi berharap untuk kembali menjalankan tugasnya secepat mungkin.
Raja Charles juga sudah memaklumkan kedua-dua anak lelakinya secara peribadi tentang diagnosis itu dan Putera William dikatakan kini berhubung rapat dengan bapanya.
Putera Harry yang menetap di California, Amerika Syarikat (AS) memaklumkan sudah berbincang mengenai diagnosis tersebut dan dijangka menziarahi bapanya di United Kingdom (UK) beberapa hari lagi.
































