Daniel Fairbrother berlatih larian maraton dengan mengikat peti sejuk pada belakang tubuh badannya.
LONDON: Polis di Britain menahan seorang lelaki selepas menyangka individu berkenaan melarikan peti sejuk dengan mengikat barang elektrik itu pada belakang tubuh badannya.
Namun, polis kemudian mendapati lelaki tersebut tidak melakukan jenayah, sebaliknya sedang berlatih larian maraton dengan cara luar biasa.
Menurut Utusan Malaysia, UPI News melaporkan, Daniel Fairbrother berkata, dia sedang berlatih larian maraton dengan membawa peti sejuk diikat belakangnya di Stevenage, Hertfordshire sebelum dihalang polis.
“Polis mengekori saya dengan membunyikan siren dan menyalakan lampu biru mengarahkan berhenti untuk mengetahui apa yang sedang berlaku.
“Maklumkan mereka tidak pernah melihat perkara seperti ini sebelum ini,” katanya kepada BBC.
Menurut Fairbrother, peti sejuk yang digelarnya sebagai Tallulah, membantunya mempersiapkan untuk menyertai Maraton London.
Fairbrother mengakui insiden dihalang polis amat memalukan namun dia memahaminya kerana tindakan dilakukannya yang agak mencurigakan itu.
Matlamat Fairbrother menyertai Maraton London adalah untuk mengumpul dana bagi badan amal Diabetes UK.
Sementara itu, jurucakap Hertfordshire Constabulary mengesahkan kejadian tersebut.
“Kami ingin mengucapkan selamat maju jaya kepada Fairbrother dengan latihan marathon,” jelas jurucakap itu.
































