Bomba selamatkan enam warga asing dalam kebakaran di sebuah hotel di Kampung Air, Kota Kinabalu, pagi tadi.
KOTA KINABALU: Bomba menyelamatkan lima wanita dan seorang lelaki warga asing dalam satu kebakaran di sebuah hotel di Kampung Air, di sini, pagi tadi.
Lima mangsa wanita yang berusia 23-28 tahun merupakan warga Russia, Switzerland, Amerika Syarikat, Slovakia dan France, manakala mangsa lelaki adalah warga Jepun berusia 22 tahun. Tiada kecederaan dilaporkan.
Sepasukan anggota diketuai Pegawai Operasi, PBK II Asama Saruddin dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu bersama jentera dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 8.49 pagi.
Mereka turut dibantu oleh sepasukan anggota dari BBP Lintas.

Jurucakap bomba berkata, kebakaran melibatkan sebuah bilik jenis kekal di tingkat tiga berkeluasan 10×10 kaki terbakar 100 peratus, manakala lima buah bilik lagi terjejas akibat terkena bahangan.
Katanya, keenam-enam mangsa yang berada di balkoni luar bangunan tingkat tiga berjaya diturunkan oleh pasukan bomba menggunakan peralatan bomba iaitu tangga Lacon Ladder.
Operasi pemadaman menggunakan satu aliran 300 kaki satu pancutan dan sumber air dari jentera.
Katanya, kebakaran berjayai dikawal pada jam 9.10 pagi dan operasi ditamatkan pada jam 10.11 pagi.
































