Leandro Trossard (depan) meraikan jaringan gol dengan rakan sepasukan di Stadium Emirates, London, semalam. Arsenal kalahkan Liverpool 3-1.
LONDON: Pengendali Arsenal, Mikel Arteta memuji semangat juang yang tinggi anak-anak buahnya ketika mencatat kemenangan penting 3-1 ke atas pendahulu Liga Perdana Inggeris, Liverpool, semalam.
Kemenangan itu membolehkan The Gunners merapatkan jurang kepada dua mata berbanding Liverpool susulan persembahan dinamik di Stadium Emirates dan dibantu oleh salah faham antara pemain The Reds.
Selepas mendahului menerusi gol awal Bukayo Saka, Arsenal diikat kembali pada lewat separuh masa pertama menerusi jaringan sendiri Gabriel Magalhaes.
Namun, Liverpool menghadiahkan Arsenal kemenangan selepas rehat apabila Alisson meluru keluar dari kawasannya untuk menangani hantaran jauh dan gagal menyentuh bola dengan Virgil Van Dijk turut gagal menghalang Gabriel Martinelli menyepak masuk ke pintu gol.
Liverpool kemudiannya menyaksikan Ibrahima Konate dibuang padang pada hujung perlawanan sebelum jaringan Leandro Trossard pada masa kecederaan yang melepasi celah kelangkang Alisson selepas tertampan Van Dijk untuk gol ketiga.
Kekalahan di tangan West Ham dan Fulham dalam liga ketika perayaan Krismas, ditambah tersingkir pada pusingan ketiga Piala FA kepada Liverpool, meningkatkan prospek Arsenal makin merudum.
Namun, Arteta sedar mereka berjaya membuka semula saingan kejuaraan dengan tiga mata berharga ke atas pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL) itu.
“Kami bertindak kejam apabila kami mempunyai peluang dan ia seperti satu kemenangan besar. Ketika ini Liverpool mungkin pasukan terbaik di Eropah dan tahap yang mereka miliki, mereka satu pasukan yang luar biasa.
“Kami sudah mara sejauh ini dan kini perlu melakukannya secara konsisten. Liverpool sudah melakukannya dalam enam atau tujuh tahun. Ia memberikan kami momentum dan cara kami melakukannya jelas kami sudah kembali. Saya benar-benar teruja,” kata Arteta.
Arteta juga sedar kepentingan untuk mengalahkan Liverpool, yang boleh menjarakkan diri lapan mata di depan jika pulang dari Emirates dengan kemenangan.
“Ia satu perlawanan besar yang akan mengorak langkah kemana kami akan berada. Apa yang pemain hasilkan luar biasa. Terutamanya persembahan kami pada babak pertama dan peluang yang kami cipta, cara kami melepaskan gol amat memeritkan.
“Malam ini kami akan menikmatinya kerana kami bekerja keras untuk memenanginya,” katanya.
































