Petugas melipat kertas undi Parlimen Pemilu 2024 di sebuah gudang di Medan, Sumatera Utara, Indonesia.
JAKARTA: Kecerdasan buatan (AI) dilihat menjadi senjata berbahaya dan banyak disalahgunakan oleh sesetengah pihak untuk tujuan politik hingga menjejaskan kempen pilihan raya Presiden dan Parlimen Indonesia yang bakal berlangsung minggu depan.
Menurut Utusan Malaysia, saiz pasaran global yang berkembang pesat serta popularitinya menyebabkan calon Pilihan Raya Indonesia (Pemilu) 2024 turut menyelami dunia AI.
Mereka termasuk pasukan kempen calon Presiden, Prabowo Subianto dan Ganjar Pranowo yang memberitahu turut menggunakan teknologi tersebut untuk memenangi hati dan fikiran 200 juta pengundi Indonesia.
Tetapi penganalisis mengkritik penggunaan AI untuk tujuan politik, memberi amaran teknologi itu boleh membawa kepada penyebaran maklumat yang salah dan strategi politik hitam yang menyebarkan tuduhan palsu terhadap pihak lawan.
Malah sebelum peningkatan populariti AI, maklumat salah tersebar luas di Indonesia, terutamanya menjelang Pilihan Paya Presiden (Pilpres) 2019 yang menyebabkan lebih 270 juta penduduknya berpecah mengikut garis politik.
Contoh terawal fitnah politik yang dijana AI berkaitan pilihan raya muncul Oktober tahun lalu melibatkan video di YouTube yang memaparkan Presiden Joko Widodo (Jokowi) memberi ucapan ketika menghadiri majlis makan malam gala di Amerika Syarikat (AS) pada 2015.
Jokowi menyampaikan ucapan itu dalam bahasa Inggeris tetapi kandungannya diubahsuai menggunakan AI untuk menampakkan beliau bercakap dalam bahasa Mandarin.
Walaupun video berdurasi satu minit 20 saat itu segera diturunkan, salinannya tersebar di perkhidmatan pemesejan menggambarkan Jokowi sebagai pro-China hingga membangkitkan sentimen anti-China dalam kalangan konservatif dan nasionalis.
Pada penghujung Januari, calon Presiden, Anies Baswedan menjadi mangsa terbaharu apabila muncul video rakaman suara mirip Pengerusi Parti Demokratik Nasional (Nasdem), Surya Paloh memarahi beliau berhubung prestasinya pada pilihan raya dan pemilihan baru-baru ini.
“Kita harus bersikap lebih kritikal kerana kini terdapat teknologi AI yang boleh menjana kandungan audio atau visual yang mampu kelihatan nyata,” kata Anies pada perhimpunan kempen di wilayah Yogyakarta sejurus video itu muncul.
Pengarah Eksekutif Persatuan Pilihan Raya dan Demokrasi (Perludem), Khoirunnisa Nur Agustyati berkata, kerajaan perlu bertindak pantas untuk menghapuskan maklumat yang salah dan menghentikannya daripada merebak.
Maklumat salah boleh digunakan untuk menyerang calon tertentu dan ini boleh membawa kepada perpecahan dalam masyarakat kita,” katanya kepada CNA.


































