Sekumpulan ahli astronomi dari England mungkin selangkah lebih dekat untuk membuktikan kewujudan makhluk asing selepas berjaya menemukan 85 lagi planet di luar sistem suria.
Eksoplanet yang ditemukan itu dikatakan mempunyai kriteria unik untuk mengekalkan kehidupan.
Eksoplanet merupakan planet yang mengelilingi bintang selain daripada matahari.
Menurut Utusan Malaysia, pasukan pakar mengkaji data satelit Pentadbiran Angkasa Lepas dan Aeronautik Kebangsaan (NASA) untuk mengesan puluhan planet baharu yang sama saiznya dengan Musytari, Zuhal dan Neptun selepas mencari sampel 1.4 juta bintang.
Daripada jumlah 85 eksoplanet yang dikesan, sebanyak 60 merupakan penemuan baharu, dengan masing-masing suhu planet itu hampir sama dengan suhu di sistem suria.
Malah, ahli astronomi juga percaya iklimnya cukup sejuk untuk mengekalkan kehidupan.
Penemuan menakjubkan itu dikesan menggunakan data dari misi NASA dikenali sebagai Satelit Tinjauan Peralihan Eksoplanet (TESS).
Pasukan saintis mendapati planet baharu itu jauh lebih sejuk berbanding kebanyakan planet lain yang dikenal pasti menerusi misi TESS asal yang dilancarkan pada April 2018.
Hasil kajian mendapati planet berkenaan mempunyai potensi `zon boleh didiami’.
Ini bermakna eksoplanet tersebut berada di kawasan yang jauh dari bintang dan mungkin memiliki suhu yang sesuai untuk mengekalkan kehidupan.
Planet berkenaan ditemukan antara 70 trilion batu hingga 15 quintillion batu dari bumi.
Kajian baharu itu merupakan kerjasama antarabangsa diketuai oleh penyelidik Faith Hawthorn dari Universiti Warwick.
Dengan menggunakan TESS, Hawthorn dan rakan penyelidiknya mampu memerhati penurunan dalam kecerahan cahaya bintang, dikenali sebagai `transit’, disebabkan objek melalui di hadapannya.
Ia juga membolehkan saintis mengenal pasti eksoplanet dan menentukan saiznya.
“Satelit angkasa lepas mengambil kecerahan daripada bintang ini dan meneliti bagaimana planet yang melalui di hadapannya menyebabkan kecerahan menurun.
“Kita juga boleh mencari planet menggunakan pendekatan ini.
“Saya berharap menerusi kajian ini, kita bukan sahaja dapat mempelajari mengenai semua jenis planet di luar sana tetapi turut memahami bagaimana sistem suria terbentuk dan keistimewaan bumi,” kata Hawthorn.
Biasanya, sekurang-kurangnya tiga transit perlu dikesan untuk menemukan eksoplanet dengan menggunakan TESS bagi menentukan tempoh masa diambil untuk mengorbit bintang.
Bagaimanapun, dalam kajian baharu ini, sistem yang transit sebanyak dua kali disasarkan.
Ini secara tidak langsung membawa kepada penemuan eksoplanet pada tempoh orbit lebih lama dan suhu lebih sejuk.
Dilaporkan, 85 eksoplanet itu mengambil masa antara 20 hingga 700 hari untuk mengelilingi bintang.
Malah, kebanyakan eksoplanet yang diperhatikan oleh TESS mempunyai tempoh orbit selama tiga hingga 10 hari.
Kajian baharu itu disiarkan dalam Notis Bulanan Persatuan Astronomi Diraja (MNRAS).


































