Hajiji bergambar bersama para peniaga kecil dan penjaja kawasan Sulaman yang menerima bantuan RM5,000 pada majis penyerahan bantuan tersebut di Dewan Pusat Kebudayaan Rumpun Bajau Sama, Tuaran, hari ini.
TUARAN: Kerajaan Negeri meluluskan peruntukan sebanyak RM4.5 juta untuk menaik taraf lorong-lorong jalan kampung dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulaman tahun ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor berkata, lorong-lorong yang jaraknya antara 100 meter hingga 300 meter akan dinaik taraf demi keselesaan dan kemudahan rakyat.
“Ini antara kemudahan yang kita rancang dan akan dilaksanakan dalam kawasan DUN Sulaman tahun ini, saya telah meluluskan peruntukan sebanyak RM4.5 juta untuk tujuan itu.
“Banyak lagi kemudahan infrastruktur yang akan Kerajaan buat dari masa ke semasa dalam kawasan Sulaman dan juga kawasan-kawasan yang lain,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Bantuan Peniaga Kecil dan Penjaja Kawasan Sulaman di Dewan Pusat Kebudayaan Rumpun Bajau Sama di sini hari ini.

Hajiji menyampaikan bantuan kepada peniaga kecil dan penjaja kawasan Sulaman pada majis penyerahan bantuan itu di Dewan Pusat Kebudayaan Rumpun Bajau Sama, Tuaran, hari ini.
Seramai 125 peniaga kecil dan penjaja di bahu-bahu jalan kawasan Sulaman menerima bantuan wang tunai RM5,000 daripada Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA) dan peruntukan Sentuhan Kasih Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
Hajiji yang juga Pengerusi SEDIA berkata, Kerajaan Negeri juga komited untuk mengurangkan kadar miskin tegar di Sabah yang kini mempunyai lebih 22,000 Ketua Isi Rumah (KIR) miskin tegar di negeri ini.
Menurutnya, Kerajaan telah mewajibkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), agansi- agensi kerajaan dan para pelabur asing dan tempatan yang membuka kilang di Sabah mengambil anak-anak daripada kalangan keluarga termiskin tegar sebagai pekerja.
Katanya, dengan inisiatif itu di samping pengembelingan usaha daripada kementerian- kementerian, jabatan-jabatan dan agensi berkaitan, Kerajaan berharap dapat menoktahkan masalah kemiskinan tegar.
Menyentuh bantuan kepada peniaga kecil dan penjaja, beliau berkata, ia merupakan antara usaha Kerajaan membela nasib golongan tersebut.

Hajiji menyampaikan bantuan kepada peniaga kecil dan penjaja kawasan Sulaman pada majis penyerahan bantuan itu di Dewan Pusat Kebudayaan Rumpun Bajau Sama, Tuaran, hari ini.
Beliau berharap bantuan itu dapat membantu mengembangkan lagi perniagaan mereka, sekaligus membantu meningkatkan pendapatan untuk diri dan keluarga.
“Peniaga kecil dan penjaja perlu rajin berusaha untuk meningkatkan taraf hidup keluarga,” tegasnya.
Turut hadir Ketua Eksekutif SEDIA, Datuk Seri Haji Hashim Paijan, Ketua Setiausaha Politik Ketua Menteri, Datuk Haji Abdul Kassim Razali, Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Datuk Haji Johari Saiman dan Pegawai Daerah Tuaran, Hadzlan Jablee.
































