PUTRAJAYA (Bernama): Keperluan meningkatkan kelayakan diesel bagi pekebun kecil, akses lebih mudah kepada peruntukan jalan ladang dan sumber air alternatif antara perkara yang dibangkitkan dalam pertemuan bersama wakil pekebun kecil serta pengusaha sektor komoditi hari ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata turut dibangkitkan cadangan memperkukuh perwakilan suara pekebun kecil di Parlimen dan pertindihan fungsi antara Lembaga Getah Malaysia dan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah.
“Saya hargai setiap pandangan yang dikemukakan. Beberapa perkara akan segera dibincangkan dalam Mesyuarat Jemaah Kabinet esok, serta dalam pertemuan saya dengan Menteri Besar dan Ketua Menteri bulan depan.
“Mungkin tidak semua dapat dilaksanakan segera kerana kekangan semasa, namun Kerajaan MADANI akan berusaha sebaik mungkin untuk mencari penyelesaian mengikut kemampuan. Insya-Allah, sebarang keputusan akan diumumkan dalam Belanjawan 2027,” kata beliau menerusi hantaran dalam platform X hari ini.
Terdahulu, Anwar menghadiri Majlis Perjumpaan Bersama Warga Kementerian Perladangan dan Komoditi di sini dan disusuli dengan pertemuan tertutup dengan Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, wakil pekebun kecil dan pengusaha sektor getah, sawit, koko, lada, kenaf dan perkayuan.
Beliau berkata antara perkara lain yang perlu diberikan perhatian ialah soal pendapatan, peningkatan mutu dan hasil pengeluaran, kemudahan jalan ladang serta keadaan perumahan pekebun kecil.
Perdana Menteri berkata sektor perladangan dan komoditi turut menyumbang kepada kekuatan ekonomi negara yang mencatat pertumbuhan enam peratus pada suku kedua tahun ini, melangkaui semua unjuran awal.
“Alhamdulillah, ekonomi negara mencatat pertumbuhan enam peratus pada suku tahun kedua, melangkaui semua unjuran awal.
“Sektor perladangan dan komoditi turut menyumbang kepada kekuatan ini, termasuk pekebun kecil yang secara keseluruhannya memberikan sumbangan besar kepada ekonomi serta hasil negara. Justeru, suara mereka mesti didengar dan nasib mereka harus terus dibela,” kata beliau. — BERNAMA






























