Dr. Joachim(tiga dari kiri) menyampaikan sijil kepada salah seorang wakil organisasi sokongan.
KOTA KINABALU: Pembangunan infrastruktur sentiasa menjadi antara keutamaan Kerajaan Negeri.
Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam berkata, infrastruktur yang berkualiti bukan sekadar menyediakan kemudahan kepada rakyat tetapi turut membuka peluang ekonomi, memperkukuh hubungan antara kawasan bandar dengan luar bandar, meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan serta menyokong pertumbuhan pelaburan yang mampan.
“Namun, usaha membina masa depan Sabah melalui pembangunan infrastruktur bukanlah sesuatu yang mudah.
“Antara cabaran utama yang dihadapi ialah keluasan negeri Sabah, taburan penduduk yang berselerak dan tidak tertumpu di beberapa kawasan sahaja, selain keadaan muka bumi yang berbukit-bukau, berpaya serta terdedah kepada risiko gempa bumi.
“Faktor-faktor ini menjadikan pelaksanaan projek infrastruktur lebih kompleks dan memerlukan kos yang tinggi.
“Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri tetap komited untuk terus menyediakan dan membangunkan kemudahan serta prasarana terbaik mengikut kemampuan dan sumber yang ada demi kesejahteraan seluruh rakyat Sabah,” katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Borneo Empowerment In Standard and Transformation (BEST) 2026 yang berlangsung di sini, pada Selasa.
Justeru itu, Dr. Joachim berkata setiap pembangunan perlu dirancang dengan teliti, dilaksanakan mengikut standard yang tinggi dan diurus dengan penuh integriti supaya manfaatnya dapat dinikmati secara berterusan oleh generasi hari ini serta generasi akan datang.
Dalam pada itu, beliau yang juga Menteri Kerja Raya dan Utiliti menegaskan agar semua pihak terlibat tidak berkompromi terhadap standard dan mengabaikan aspek kualiti serta piawaian yang telah ditetapkan dalam mengejar kemajuan teknologi.
“Kita kini berada dalam era yang menyaksikan perubahan teknologi berlaku dengan begitu pantas.
“Standard dan teknologi perlu bergerak seiring. Standard memastikan kualiti manakala teknologi meningkatkan kecekapan.
“Apabila kedua-duanya digabungkan, kita akan mampu menghasilkan pembangunan yang lebih berkualiti, lebih selamat dan lebih mampan,” tambahnya.
Beliau berharap persidangan tersebut akan terus menjadi platform yang menghubungkan semua pihak dalam memperkukuh budaya ilmu, inovasi dan profesionalisme.
Persidangan yang berlangsung selama dua hari itu disertai lebih 300 peserta antaranya terdiri daripada pegawai kerajaan, perunding pembinaan, pengamal keselamatan dan kesihatan pekerjaan dan pelajar institusi pengajian tinggi.
Hadir sama, Pengerusi Sabah Oil and Gas Development Sdn. Bhd, Datuk Ir. Shahelmey Yahya dan Timbalan Pengarah Kerja Raya Sektor Jeraya Jabatan Kerja Raya, Hafez Shabuddin.






























