Dr Dzulkefly Ahmad
KUALA LUMPUR (Bernama): Operasi Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) akan diteruskan walaupun berlaku insiden nahas helikopter di Long Lellang, Ulu Baram, Sarawak petang semalam, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Beliau berkata tiada keperluan untuk menghentikan perkhidmatan berkenaan memandangkan peranannya penting dalam memastikan akses perkhidmatan kesihatan, khususnya buat komuniti di kawasan pedalaman.
“Kita akan teruskan. Tidak ada keperluan (untuk menghentikan perkhidmatan). FDS ini adalah liputan kesihatan sejagat, jadi kita akan teruskan serta memperkasanya,” kata beliau pada sidang media di sini hari ini.
Turut hadir pada sidang media itu ialah Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Mahathar Abd Wahab dan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Dr Ismuni Bohari.
Mengulas lanjut mengenai pengoperasian FDS, Dzulkefly berkata KKM tidak memiliki aset helikopter sendiri untuk menjalankan perkhidmatan tersebut, sebaliknya ia dilaksanakan menerusi kaedah sewaan secara kontrak yang turut merangkumi aspek penyelenggaraan. — BERNAMA
































