Liew (lima kiri), diapit oleh Lai (di sebelah kanannya) dan Lian Awa, mempamerkan baju-T promosi untuk Mount Trusmadi International Climbathon 2024. Ketiga dari kiri ialah Sobitun.
KOTA KINABALU: Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS), Datuk Christina Liew menyokong penuh terhadap penganjuran julung kali Mount Trusmadi International Climbathon 2024 yang dijadualkan diadakan di Tambunan pada 25 Mei tahun ini.
Beliau berkata, Kementeriannya akan menghulurkan bantuan yang diperlukan untuk memastikan kejayaan acara pendakian ini.
Beliau berkata demikian semasa menerima kunjungan hormat oleh delegasi pihak penganjur acara tersebut kelmarin.
Dianjur bersama oleh Kelab Larian Velocity, Jabatan Perhutanan Sabah dan Pejabat Daerah Tambunan, acara itu mensasarkan penyertaan kira-kira 500 peserta dari Malaysia dan negara luar.
Liew turut dijemput untuk melancarkan acara itu pada 6 Februari di Pusat Sejadi Hutan Lipur Kawang di Papar.
“Sudah tiba masanya untuk mempromosikan Gunung Trusmadi sebagai gunung kedua tertinggi di Malaysia, dan keindahan alam semula jadi di kawasan itu, baik di peringkat tempatan mahupun di arena antarabangsa.
“Saya memuji pihak penganjur kerana mengambil inisiatif mengadakan acara antarabangsa ini yang berpotensi untuk berkembang menjadi produk ekopelancongan baharu.
“Selain daripada pendakian antarabangsa, peminat mendaki harus digalakkan untuk mendaki gunung sebagai aktiviti kesihatan untuk kecergasan,” katanya.
Tambah Liew, pendakian itu akan meningkatkan kesedaran tentang gunung yang kurang dikenali berbanding Gunung Kinabalu.
Gunung Trusmadi yang mempunyai ketinggian 2,642 meter dikurniakan flora dan fauna yang unik.
Timbalan Ketua Konservator Hutan Sabah (Operasi) Musa Salleh dari ibu pejabat jabatan itu di Sandakan, dan Presiden Kelab Larian Velocity Andrew Lian Awa, yang merupakan Pengarah Perlumbaan, memberi taklimat kepada Menteri mengenai acara pendakian itu.
Pendakian yang akan bermula di Pintu Kupu-Kupu di Hutan Simpan Nuluhon Gunung Trusmadi itu menawarkan dua kategori – laluan 30km untuk pendaki antarabangsa dan laluan 21km untuk pendaki tempatan yang terbuka kepada lelaki dan wanita.
Hadiah wang tunai dengan jumlah keseluruhan RM29,600 tersedia untuk dimenangi.
Menurut Musa dan Andrew, Mount Trusmadi International Climbathon 2024 bukan sahaja menguji ketahanan fizikal dan keazaman peserta tetapi mereka juga peluang untuk mengalami hutan belantara yang bersih dan landskap yang menakjubkan yang ditawarkan oleh gunung dan sekitarnya.
“Ia akan menjadi pertandingan yang menarik dan sukar, memandangkan laluan denainya yang mencabar,” kata mereka.
Hadir sama, Setiausaha Tetap KePKAS, Josie Lai dan Pegawai Daerah Tambunan, Sobitun Makajil.
































