Abdul Nasser Abdul Wahid
KOTA KINABALU: Energy Commission of Sabah (ECoS) telah melancarkan program “SELCO-PV SABAH” melalui penerbitan garis panduan di laman web ECoS iaitu “Guidelines on Grid-Connected Solar Photovoltaic System for Self-Consumption in Sabah (SELCO-PV SABAH)”.
Ketua Pegawai Eksekutif ECoS, Datuk Ir. Abdul Nasser Abdul Wahid berkata, program SELCO-PV SABAH ini bertujuan untuk menggalakkan penggunaan Solar PV, iaitu suatu sumber tenaga boleh baharu yang membolehkan pengguna elektrik menjana tenaga melalui sistem Solar PV terutamanya pada struktur bumbung premis bangunan masing-masing untuk kegunaan sendiri dan secara langsung akan mengurangkan penggunaan elektrik daripada utiliti, justeru itu menghasilkan penjimatan pada bil elektrik dan pengurangan jejak karbon.
Tambahnya, pelaksanaan SELCO-PV SABAH secara meluas ini juga akan mengurangkan beban puncak pada grid dan memberikan kelegaan kepada margin rizab penjanaan yang kini sedang berada di tahap yang tidak mencukupi terutamanya pada waktu beban puncak pada siang hari iaitu antara jam 11 pagi sehingga jam 4 petang.
Beliau menjelaskan bahawa pelaksanaan SELCO-PV SABAH dijangka akan dapat meningkatkan campuran penjanaan tenaga boleh baharu di Sabah yang kini berada pada tahap 7 peratus.
“Langkah ini adalah merupakan salah satu inisiatif di bawah Pelan Induk Tenaga di Sabah iaitu Sabah Energy Roadmap and Masterplan 2040 (SE-RAMP 2040) yang telah dilancarkan pada bulan September tahun lalu,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau seterusnya memaklumkan permohonan boleh dibuat secara atas talian melalui pautan yang disediakan dengan merujuk kepada “Soalan-soalan Lazim” yang disediakan di laman web ECoS iaitu www.ecos.gov.my.
Sebarang pertanyaan lanjut mengenai SELCO-PV SABAH boleh dibuat kepada pihak ECoS melalui email selcopv@ecos.gov.my.































