Hajiji bersalaman dengan Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) setibanya pada Persidangan Khas DUN hari ini.
KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor berkata, faktor utama yang menyumbang kepada pemasalahan bekalan elektrik ketika ini bukan sahaja disebabkan oleh kekurangan kapasiti penjanaan, tetapi ianya juga atas sebab kenaikan beban pengguna (daripada lazimnya 900 Megawatt ke 1,100 Megawatt dalam tempoh setahun) lanjutan dari pembangunan ekonomi yang rancak di Sabah.
Oleh yang demikian, beliau berkata, selari dengan Pelan Induk Hala Tuju Tenaga Sabah 2040 (Sabah Energy Roadmap and Master Plan 2040 atau SE-RAMP 2040) yang telah dilancarkan pada 19hb September 2023, maka fokus utama Kerajaan Negeri adalah untuk memastikan Pelan Pembangunan Penjanaan jangka pendek dilaksanakan secara fast track bagi mencapai jidar simpanan penjanaan (Generation Spare Capacity) ke tahap kukuh iaitu 30 peratus secepat mungkin seperti berikut
- Penyewaan set-set janakuasa berasaskan bahan api diesel sehingga 100 Megawatt secara berperingkat iaitu 40 Megawatt pada bulan Disember 2023 dan 60 Megawatt pada bulan Mac 2024.
- Pelanjutan operasi loji janakuasa berasaskan bahan api diesel sedia ada di Tawau sebanyak 70 Megawatt.
- Penyiapan projek Solar Berskala Besar (Large Scale Solar atau LSS) sebanyak 62 Megawatt pada tahun 2024.
- Cadangan pemasangan Battery Energy Storage System (BESS) sebanyak 100 Megawatt yang dijadualkan untuk penyiapan pada tahun 2026 akan diawalkan untuk sasaran penyiapan pada tahun 2024.
- Penyewaan loji berasaskan gas 100MW bagi tempoh interim sehingga loji gas tetap 100MW siap dibina.
- Pengoperasian sumber-sumber Tenaga Hijau melalui program Tarif Galakan (Feed in Tariff ) dari sumber mini hidro berkapasiti 31.6 Megawatt dan biogas berkapasiti 5.6 Megawatt pada tahun 2024.
- Penambahan projek Solar Berskala Besar (Large Scale Solar atau LSS) sebanyak 100 Megawatt pada tahun 2025.

Ketua Menteri berkata, di samping itu, untuk memastikan kemampanan kapasiti penjanaan yang mencukupi, Pelan Pembangunan Penjanaan jangka sederhana dan panjang akan juga dilaksanakan yang antara lain melibatkan penambahan kapasiti penjanaan daripada sumber hidro berjumlah sekitar 400 Megawatt, projek Solar Berskala Besar berjumlah 100 Megawatt dan lain-lain projek penjanaan.
“Di samping itu, terdapat juga projek talian penghantaran utama 275 kiloVolt iaitu penyiapan talian penghantaran sambung-tara grid Sabah dengan Sarawak dan projek talian penghantaran Southern Link. Ini akan mengukuhkan lagi kapasiti dan kestabilan grid Sabah untuk menerima permintaan beban besar terutamanya daripada pengguna-pengguna industri di masa akan datang,” katanya pada Persidangan Khas Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini.


































