Dr. Joachim Gunsalam
KOTA KINABALU: Sabah merekodkan sebanyak 984 kes Covid-19 dalam tempoh seminggu sehingga Sabtu lalu (16 Dis) daripada 10 Dis.
Ini merupakan peningkatan sebanyak 356 peratus berbanding 216 kes direkodkan pada seminggu sebelumnya (3-9 Dis).
Menurut Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam, satu kes kematian turut dilaporkan di Kota Kinabalu dalam tempoh 10-16 Dis itu.
Beliau yang juga Menteri Penyelaras Covid-19 Sabah berkata, 21 daerah mencatatkan peningkatan jumlah kes minggu lalu berbanding minggu sebelumnya iaitu Kota Kinabalu, Penampang, Tuaran, Putatan, Kota Belud, Papar, Beaufort, Sandakan, Lahad Datu, Keningau, Kota Marudu, Sipitang, Telupid, Tawau, Semporna, Tambunan, Pitas, Tenom, Kudat, Kinabatangan dan Tongod.
Manakala satu daerah mencatatkan penurunan kes pada minggu lalu iaitu Beluran, dan dua daerah mencatatkan kes mendatar iaitu sama, katanya, sambil menambah ini melibatkan daerah Ranau dengan catatan empat kes dan Kuala Penyu dengan catatan tiga kes.
“Manakala empat daerah yang lain tidak mencatatkan sebarang kes bagi minggu ini. Ini melibatkan daerah Nabawan, Kunak, Beluran dan Kalabakan,” katanya dalam kenyataan malam tadi
Dr. Joachim menasihati orang ramai adalah dinasihatkan untuk mengamalkan penjagaan kebersihan diri pada tahap optimum seperti kerap mencuci tangan dalam mengawal penularan Covid-19.
Katanya, pemakaian pelitup muka di kawasan tumpuan awam kepada golongan berisiko dan juga mereka yang bergejala adalah digalakkan.
“Kepada mereka yang belum mendapatkan dos primer vaksin dan dos penggalak vaksin, bagi tujuan mengurangkan risiko penularan jangkitan, anda dinasihatkan untuk berhubung dengan Klinik Kesihtaan yang berdekatan.
“Kepada mereka yang berisiko, anda disarankan untuk mendapatkan rawatan antiviral Paxovid yang boleh diperolehi di Klinik Kesihatan yang berdekatan.
“Amalkan TRIIS (Test, Report, Isolate, inform and Seek) sekiranya menunjukkan simptom-simptom gejala Covid-19,” katanya.
Bagi pengurusan kontak rapat, pihak KKM telah mengeluarkan arahan (berkuatkuasa 22 April 2023), yang mana bagi kontak rapat yang tidak bergejala, langkah pencegahan perlu diambil dalam tempoh 5 hari dari tarikh akhir pendedahan kepada kes positif Covid-19.
Manakala bagi kontak rapat yang bergejala, adalah digalakkan untuk melaksanakan kuarantin kendiri dan digalakkan untuk menjalankan ujian RTK-Ag kendiri pada hari gejala bermula dan pada hari ketiga.
“Orang ramai diminta untuk sentiasa patuh kepada arahan KKM dari semasa ke semasa bagi mengelakkan penyebaran Covid-19,” katanya.
































