Ewon (empat kiri), Pengerusi KOUPIO, Datin Esther Sikayun (dua kiri) dan ADUN Inanam, Peto Galim (empat kanan) semasa Majlis Pelancaran Coffee Cactus.
INANAM: Koperasi Usahawan Peniaga Inanam Berhad (KOUPIO) menerima suntikan dana RM40 ribu sebagai inisiatif menggiatkan pertumbuhan ekonomi koperasi tersebut.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata kementeriannya mengalu-alukan inisiatif KOUPIO dan bersetuju meluluskan peruntukan RM20 ribu di bawah Skim Pembangunan Produk oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia.
“Dana tersebut bagi membangunkan produk Coffee Cactus meliputi pelabelan, pembungkusan dan promosi hasil keluaran KOUPIO itu.
“Sebagai tambahan, turut disalurkan sebanyak RM20 ribu daripada peruntukan khas saya sebagai Menteri pada awal tahun depan untuk koperasi ini memulakan penanaman serai wangi dalam kalangan ahli dan penduduk sekitar Inanam,” katanya ketika ditemui media semasa Majlis Pelancaran Coffee Cactus, pada Jumaat.
Majlis tersebut juga dilaksanakan sempena Program Pempromosian dan Penggalakan Koperasi Peringkat Parlimen Sepanggar, Sabah Tahun 2023.
Menurut Ewon, penanaman serai wangi adalah salah satu produk yang akan dibangunkan KOUPIO untuk dibekalkan menjadi bahan mentah essential oil dengan kolaborasi bersama Universiti Malaysia Sabah.
“Inisiatif yang dilaksanakan KOUPIO boleh menjadikan masyarakat kita yang mempunyai aset seperti tanah lebih produktif dan menggilap potensi ekonomi.
“Bagi pemilik tanah yang dikategorikan sebagai miskin tegar, saya percaya program ini boleh membawa mereka keluar daripada garis kemiskinan melalui penglibatan koperasi yang menawarkan kontrak farming.
“Mereka dibekalkan anak benih dan selepas matang, hasil yang dituai akan dibeli oleh koperasi sekaligus pusingan ini akan menjana pendapatan tambahan kepada masyarakat,” ujarnya.
Ewon turut memberitahu syarat penubuhan koperasi kini hanya melibatkan keanggotaan minimum sebanyak lima ahli.
“Sebelum ini keanggotaan minimum adalah 20 ahli tetapi sekarang penubuhan koperasi dibolehkan dengan lima keanggotaan dan dibenarkan juga berasaskan kemahiran yang sama.
“Contohnya, lima doktor boleh menubuhkan koperasi untuk membuka klinik dengan sokongan tabung modal pusingan geran yang kita sediakan dengan syarat serta kriteria ditetapkan,” jelas beliau.