Hajiji (duduk, tengah) bersama Menteri Belia dan Sukan Negeri, Datuk Ellron Angin dan atlet -atlet Sabah yang menerima insentif kemenangan pada Majlis Meraikan Pencapaian Atlit Sabah di Temasya Sukan Sea Ke-32 (Combodia 2023), Para Asean Ke-12 (Combodia 2023), Sukan Asia Ke-19 (Hangzhou 2023) dan Para Asian Ke-4 (Hangzhou 2023).
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri membayar insentif kemenangan sebanyak RM304,000 kepada 54 atlet Sabah yang berjaya memenangi pingat dan mengharumkan nama Malaysia dan Sabah dalam empat temasya sukan bertaraf antarabangsa tahun ini, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor.
Katanya, sebanyak RM91,500 dibayar kepada atlet yang kejayaan di Sukan SEA Ke- 32 Cambodia, RM126,000 untuk Sukan PARA ASEAN Ke-12 Cambodia, RM46,500 untuk Sukan Asia Ke-19 Hangzhou dan RM40,000 untuk PARA Asian Ke-4 Hangzhou.
Beliau berkata, pemberian insentif kemenangan itu setimpal dengan kesungguhan dan dedikasi para atlet negeri, selain untuk menarik minat dan penyertaan anak-anak muda Sabah dalam bidang sukan.
“Pemberian insentif ini juga diharap dapat menjadi sumber inspirasi dan penguat semangat untuk mereka lebih berjaya di masa hadapan, serta sejajar dengan usaha kerajaan melalui Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Sabah untuk melahirkan “Atlet Bertaraf Dunia”,” katanya pada Majlis Meraikan Pencapaian Atlet Sabah di Temasya Sukan Sea Ke-32 (Combodia 2023), Para Asean Ke-12 (Combodia 2023), Sukan Asia Ke-19 (Hangzhou 2023) dan Para Asian Ke-4 (Hangzhou 2023) di Dewan Bankuasi, Menara Kinabalu, di sini, hari ini.
Hajiji berkata, Kerajaan Negeri sangat berbangga dengan pencapaian yang ditunjukkan oleh atlet negeri ini yang mengambil bahagian dan mencipta kemenangan dalam empat temasya sukan antarabangsa itu.
Menurutnya, dalam Belanjawan Negeri 2024 yang diumumkan oleh Menteri Kewangan, Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM27.13 juta kepada KBS Sabah untuk mengurus dan membangunkan industri sukan negeri Sabah tahun hadapan.
Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak RM2.08 juta diperuntukkan untuk pembangunan sukan massa, RM20 juta untuk pengurusan dan pembangunan sukan prestasi tinggi oleh Majlis Sukan Negeri Sabah dan RM5.05 juta untuk pemberian sukan.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri terus memperuntukkan perbelanjaan besar dan konsisten kepada KBS Sabah bagi memastikan lebih banyak aktiviti sukan dapat dijalankan serta menyediakan prasarana dan teknologi sukan yang moden dari semasa ke semasa, selain memenuhi keperluan atlet untuk berlatih dengan lebih efisien dan bertanding pada tahap tenaga maksima.
“Sabah mempunyai visi untuk “Melahirkan Atlet Bertaraf Dunia” dengan berlandaskan kepada tiga teras utama iaitu Sukan Prestasi Tinggi, Industri Sukan dan Sukan Massa. Kerajaan Negeri juga sentiasa berusaha mengajak masyarakat untuk bergiat aktif dalam sukan demi meningkatkan tahap kesihatan rakyat dan kecergasan,” tegasnya.
Hajiji berkata, beliau sentiasa mengikuti rapat perkembangan, kemajuan dan pencapaian KBS Sabah khususnya melibatkan atlet-atlet Sabah, dan senang hati melihat pacuan program dan pembangunan yang jitu oleh pihak kementerian yang terus berusaha melaksanakan perancangan komprehensif untuk Sabah.