KOTA KINABALU: Kedudukan geografi Sabah yang amat strategik memberinya kelebihan dalam Ekonomi Biru, kata Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir.
Beliau berkata, Sabah dikelilingi lautan seluas 37,300 kilometer persegi dengan pelantar benua berkeluasan 116,800 kilometer persegi dan garis pantai sepanjang 2,383 kilometer.
“Untuk memanfaatkan kelebihan ini, way forward agenda pembangunan negeri di bawah Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) menjadikan Ekonomi Biru sebagai fokus baharu.
“Antara bidang yang dikenal pasti bagi Sabah adalah perikanan dan akuakultur, perkapalan dan pengangkutan, pelancongan, tenaga boleh diperbaharui, sumber-sumber mineral, bioteknologi dan farmaseutikal, blue carbon, pengurusan sisa dan kawalan pencemaran, kajian dan pembangunan serta infrastruktur marin,” katanya ketika menggulung untuk Jabatan Ketua Menteri (JKM) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini. Beliau menjawab isu dibangkitkan oleh Datuk Seri Bung Moktar Radin (Lamag), Dato’ Sri Ghulamhaidar Khan Bahadar (Kawang) dan Datuk Mohamaddin Ketapi (Segama).
Abidin berkata, Ekonomi Biru diperkenalkan dalam tahun 2012 oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dengan memberi penekanan kepada pengurusan mampan sumber laut dan pesisir pantai supaya ia lebih produktif dan menjadikan ekosistem marin yang sihat.
Katanya, Ekonomi Biru dimasukkan ke dalam Rancangan Malaysia Ke-12, 2021-2025 sebagai salah satu pendekatan untuk merancakkan ekonomi negara.
“Ekonomi Biru merujuk kepada pemanfaatan lestari sumber-sumber laut untuk pertumbuhan ekonomi, peningkatan taraf hidup, dan penciptaan pekerjaan, sambil menjaga kelestarian ekosistem marin, di samping menjanjikan potensi yang besar dalam pelbagai bidang,” jelasnya.
Katanya, seperti yang diumumkan oleh Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun semasa pembentangan Belanjawan Sabah 2024, Kerajaan Negeri akan menganjurkan satu persidangan antarabangsa pada bulan Februari tahun 2024.
Sebagai persediaan untuk penganjuran persidangan antarabangsa tersebut, katanya, Sekretariat SMJ akan menganjurkan satu persidangan Synedrio Sabah Maju Jaya: Penerokaan Khazanah Baharu Melalui Konsep Ekonomi Biru di Negeri Sabah dengan tema “Beyond Limits, Unleashing Economy” pada 14 Disember 2023.
“Persidangan ini bertujuan untuk merungkai dan seterusnya menghasilkan kerangka Ekonomi Biru bagi negeri Sabah.
“Persidangan ini juga melibatkan penyertaan seramai 200 orang dari pelbagai sektor iaitu kerajaan, NGO, pemain-pemain industri, ahli-ahli akademik, ahli-ahli politik dan orang ramai dari dalam dan luar negeri Sabah.
“Panel-panel penyampai dalam persidangan ini mempunyai pengalaman dan kepakaran di peringkat antarabangsa dalam Ekonomi Biru. Outcome persidangan ini akan memberikan pendedahan, kefahaman dan kesedaran kepada semua pihak yang berkepentingan bagi membolehkan Kerajaan Negeri dapat menghasilkan kerangka yang inklusif dan boleh dilaksanakan,” jelasnya.
Menurutnya, satu sesi roundtable discussion yang diterajui oleh Sekretariat Sabah Maju Jaya akan diadakan pada 15 Disember 2023.
Katanya, roundtable ini bertujuan untuk merangka kerangka pelan tindakan Ekonomi Biru sebagai persediaan awal untuk persidangan antarabangsa yang diadakan pada bulan Februari tahun 2024.
































