Ghulamhaidar Khan Bahadar
KOTA KINABALU: Pelaksanaan projek Loji Rawatan Air Kogopon di Papar yang sedang dalam berjalan mampu memenuhi keperluan lebih 160,000 pengguna di Pantai Barat Selatan, kata ADUN Kawang, Dato’ Sri Ghulamhaidar Khan Bahadar.
Beliau berkata, ia meliputi pengguna di daerah Papar sehingga ke Putatan, Kinarut, Lok Kawi dan sekitarnya.
Sambil mengalu-alukan pelaksanaan projek air Kogopon itu, beliau berkata, ia adalah bukti komitmen Kerajaan menangani isu melibatkan keperluan rakyat.
Berucap membahas Belanjawan Sabah 2024 di Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini, Ghulam berkata, sejumlah RM679.85 juta diperuntukkan Kerajaan menerusi belanjawan tahun depan untuk mengurus dan menangani masalah kekurangan bekalan air bersih yang kritikal.
Katanya, di bawah Program Bekalan Air Negeri biayaan Kerajaan Negeri, Jabatan Air Negeri Sabah diperuntukkan RM156.77 juta bagi melaksanakan program penyelesaian serta merta dan jangka pendek.
“Sementara bagi bagi program penyelesaian jangka sederhana dan jangka panjang, peruntukan RM258.05 juta akan dibiayai di bawah Program Pinjaman Mudah Persekutuan sebagai tindakan penyelesaian bekalan air di daerah Tawau, Lahad Datu, Sandakan, Papar dan Kota Kinabalu,” katanya.
Ghulam juga berkata, sementara menunggu beroperasinya Loji Rawatan Air Telibong dan Kogopon, Kerajaan turut menstrukturkan semula Jabatan Air Negeri Sabah bagi memperkasa operasinya.
Ini termasuk menangani isu Non Revenue Water (NRW) yang menyebabkan gangguan bekalan air kepada pengguna.
“Difahamkan dalam tempoh lima bulan ini, usaha itu sudah membuahkan hasil apabila kadar NRW ini berjaya dikurangkan daripada 60 peratus sebelum ini kepada 51 peratus setakat awal bulan ini,” katanya.
Beliau turut berkongsi satu lagi khabar gembira mengenai pelaksanaan projek empangan hidroelektrik bernilai RM4 bilion di Ulu Padas, Tenom, yang akan dilancarkan tidak lama lagi.
Menurutnya, projek itu adalah perancangan jangka panjang kerajaan dalam menangani isu bekalan air dan elektrik di negeri ini.
Sementara itu, Ghulamhaidar berkata, penerokaan Ekonomi Biru perlu diberi sokongan oleh semua pihak kerana ia bakal menjadi sumber ekonomi baharu Sabah.
Beliau berkata, usaha Kerajaan Negeri itu harus didukung bersama kerana ia turut mewujudkan peluang pekerjaan serta meningkatkan taraf hidup rakyat.
Katanya, konsep Ekonomi Biru itu merupakan penerokaan sumber laut yang menekankan pengurusan marin dan pantai secara lestari.
Contohnya pemuliharaan hutan bakau, perikanan dan akuakultur, tenaga boleh diperbaharui, pelancongan dan rekreasi, perubahan iklim dan lain-lain.
“Mengambil kira khazanah kelautan dan maritim yang ada di perairan laut dalam negeri Sabah, penerokaan Ekonomi Biru ini merupakan nilai tambah utama bagi kita.
“Ia membantu usaha ke arah pertumbuhan ekonomi, peningkatan taraf hidup dan pekerjaan di samping menjaga kemakmuran dan kesihatan ekosistem laut,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap penerokaan baharu itu dapat direalisasikan dengan kerjasama pelabur asing yang mempunyai kepakaran dalam bidang tersebut.
Beliau turut berharap mendapat pencerahan lanjut pada Persidangan Antarabangsa Ekonomi Biru yang dijadualkan pada bulan Februari tahun 2024.
Ghulamhaidar juga berkata, Ekonomi Biru itu amat tinggi potensinya dengan anggaran nilai berbilion ringgit.
Ia sesuai dengan kedudukan Sabah dikelilingi lautan dalam lingkungan Kawasan Pertumbuhan Asean Timur-Brunei, Indonesia, Malaysia dan Filipina (BIMP-EAGA) serta status Malaysia sebagai negara maritim.
Beliau optimis ekonomi baharu itu dapat membawa anjakan perubahan kepada komuniti nelayan serta penduduk sekitar pesisiran laut.
“Ini kerana pelbagai industri hiliran akan dibangunkan di lokasi pinggiran laut, sekali gus menyedia peluang pekerjaan baharu,” katanya, sambil menjelaskan pesisiran laut di kawasan Kawang, dari Lok Kawi/Kinarut hingga ke Melinsung, boleh menjadi pangkalan lokasi industri hiliran Ekonomi Biru itu nanti.
Dalam pada itu, Ghulamhaidar juga menyokong usaha yang dilaksanakan Kerajaan melalui Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah bagi memperkasa usahawan luar bandar.
Beliau berkata, sememangnya banyak potensi ekonomi bagi pelbagai kegiatan untuk diceburi.
Antara produk tempatan boleh diusahakan termasuk pembuatan gong, gubahan bunga, pembuatan manik dan produk makanan berasaskan bahan tempatan.
Beliau percaya setiap daerah atau kawasan DUN di Sabah akan mengenal pasti potensi kawasan masing-masing untuk diteroka dan dibangunkan ekonomi berasaskan produk tempatan masing-masing.
Katanya, ia seiring Program Satu Daerah Satu Produk yang mana diperuntukkan sebanyak RM2.41 juta menerusi Belanjawan 2024 bersama-sama dengan Program Pembangunan Usahawan Desa dan Program Industri Desa.
“Kita yakin dengan perancangan strategik sedemikian, Sabah mampu mendepani cabaran di masa depan termasuk kebarangkalian krisis makanan susulan kemelesetan ekonomi dunia dalam beberapa tahun terakhir ini.
“Program Satu Daerah Satu Produk ini wajar diberi keutamaan demi mempelbagaikan sumber serta membantu keterjaminan makanan jangka panjang.
“Saya mengambil contoh kawasan DUN Kawang sendiri, kita mempunyai kawasan padang ragut yang luas dan boleh dibangun bagi ternakan ruminan, manakala kawasan pesisiran pantai di Kinarut barangkali boleh diterokai dengan sektor perikanan atau akuakultur,” katanya.
































