Madius Tangau
KOTA KINABALU: Pelantikan wakil Kerajaan Sabah sebagai Anggota Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) belum cukup untuk menentukan jumlah dan komponen cukai yang dipungut di Sabah, kata Ahli Parlimen Tuaran Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.
Katanya, LHDN hanya bertanggungjawab terhadap cukai pendapatan sedangkan terdapat cukai lain yang dikutip di wilayah itu termasuk cukai jualan dan cukai jalan.
“Bolehkah Anggota LHDN mendapatkan maklumat berapakah jumlah pungutan cukai jalan dan cukai jualan? Tentunya tidak, LHDN hanya pungut cukai pendapatan.
“Cukai jualan dipungut oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia, manakala cukai jalan dikutip oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ),” katanya mengulas jawapan bertulis Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak (BHESS), Jabatan Perdana Menteri dalam satu kenyataan hari ini.
Semasa sesi perbahasan di Dewan Rakyat di Kuala Lumpur sebelum ini, Madius meminta penjelasan berkaitan komponen yang digunakan untuk menentukan hasil yang dikutip oleh Kerajaan Persekutuan dari Sabah.
Dalam jawapan bertulis, BHESS memaklumkan Kerajaan Sabah dan Kerajaan Sarawak mendapatkan maklumat mengenai hasil kutipan Kerajaan Persekutuan dari kedua-dua wilayah tersebut melalui lantikan wakil Kerajaan Sabah dan Kerajaan Sarawak sebagai Anggota LHDN.
Madius berkata, jelas bahawa jawapan bertulis itu tidak menjawab soalan dan perkara yang telah beliau sampaikan.
“Saya sebenarnya memberi cadangan bagaimana hak Sabah untuk mendapatkan 40 peratus daripada jumlah pungutan hasil persekutuan daripada Sabah itu boleh dilaksanakan.
“Perkara utama yang saya cadangkan ialah supaya Jawatankuasa Teknikal Pelaksanaan Perjanjian Malaysia yang dipengerusikan oleh Yang Amat Berhormat Petra Jaya merangkap Timbalan Perdana Menteri II, menjadi penentu komponen-komponen cukai dan hasil lain yang boleh dimasukkan dan diambil kira sebagai jumlah hasil persekutuan yang disebut dalam Seksyen 2(1) Bahagian 4, Jadual Kesepuluh Perlembagaan Persekutuan.
“Namun ini dijawab bahawa maklumat berkaitan cukai di Sabah dan Sarawak adalah seiring dengan pelantikan Anggota LHDN.
“Pelantikan wakil Kerajaan Sabah dalam LHDN tidak mencukupi dalam menentukan jumlah pungutan Hasil Persekutuan dari Sabah kerana kita juga ada cukai jualan yang dipungut oleh Kastam dan cukai jalan yang dikutip oleh JPJ,” tegas Presiden Kehormat Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) itu lagi.
Projek BALB di Kampung Kapa-Kg. Sinalapak dan Sekitarnya
Sementara itu, Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) diminta untuk mengemukakan surat penarikan balik surat pembatalan projek Projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) di Kampung Kapa-Kg. Sinalapak dan Sekitarnya, Tamparuli sekiranya mahu projek tersebut diteruskan.
Madius berkata, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dalam jawapan bertulis kepada ucapannya pada sesi persidangan Dewan Rakyat, memaklumkan JANS perlu menyertakan bukti kukuh dan pengesahan penerimaan penduduk dan tiada lagi isu bantahan sepanjang tempoh pelaksanaan projek.
Beliau berkata, KKDW memberitahu berikutan projek ini sudah lama diluluskan, maka surat tersebut hendaklah dikemukakan segera sebelum akhir tahun 2023 bagi tujuan tindakan susulan di peringkat KKDW.
Oleh yang demikian, KKDW akan menangguhkan projek ini sehingga isu bantahan diselesaikan, tambah Madius.
Dalam ucapannya, Madius memohon kepada KKDW supaya pembatalan Projek Membina Loji Rawatan Air Terawat, Bekalan Air Luar Bandar Kampung Kapa, Kampung Sinalapak dan sekitar ditarik balik.
KKDW memaklumkan, pelaksanaan projek BALB di Kampung Kapa-Kampung Sinalapak dan sekitarnya dibatalkan Pihak Berkuasa Air Negeri (PBAN) Sabah akibat bantahan keras penduduk lima buah kampung di Kota Belud iaitu Kg. Bundu Paka, Kg. Tambatuon, Kg. Lingkubang, Kg. Porak Ogis dan Kg. Kebayau Lama.
Kementerian itu berkata, lokasi cadangan muka sauk dan loji rawatan air yang terletak di Sungai Kadamaian di Kg. Bundu Paka yang dibantah oleh penduduk tempatan mengakibatkan projek ini tidak mempunyai sumber air untuk disalurkan kepada penduduk di Daerah Kota Belud dan Daerah Tuaran yang terlibat.
Sebelum pembatalan projek diputuskan oleh PBAN, mesyuarat bersama Ketua-ketua Kampung terlibat telah diadakan di Pejabat Daerah Kota Belud pada 22 Mac 2023, disusuli dengan kunjungan hormat Ketua-ketua Kampung terlibat kepada Pengarah JANS pada 27 Mac 2023.
Sesi dialog terakhir juga dibuat bersama penduduk kampung oleh PBAN bersama Pejabat Daerah Kota Belud pada 18 Julai 2023.
Satu surat pemakluman bantahan penduduk kampung terlibat secara rasmi telah dikemukakan oleh Pejabat Daerah Kota Belud kepada Pengarah JANS pada 28 Julai 2023.
Justeru, satu surat rasmi daripada JANS kepada Kementerian mengesahkan pembatalan pelaksanaan projek telah dikeluarkan pada 7 September 2023, jelas KKDW.
Dalam pada itu, Madius mengharapkan agar penduduk setempat mendapat kata sepakat memandangkan projek itu nanti akan memberikan manfaat kepada semua pihak termasuk penduduk kampung, sekolah-sekolah dan pengusaha – pengusaha eko pelancongan.
“Bantahan sebelum ini mungkin disebabkan oleh ketidakfahaman yang menyebabkan kekeliruan.
“Kita telah mengadakan pertemuan dan akan meneruskan siri dialog dengan penduduk kampung bagi memastikan projek bekalan air terawat yang mesra alam ini tidak terbatal begitu sahaja selepas lebih tujuh tahun saya memperjuang di parlimen,” jelas beliau.
Status Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Nabalu
Dalam perkembangan lain, Madius memberitahu, status pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Nabalu setakat Oktober 2023 adalah di peringkat prabina dan dijangka untuk diiklan tender pada Oktober 2025.
Beliau berkata, perkara itu dimaklumkan kepadanya oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam satu jawapan bertulis di persidangan Parlimen Dewan Rakyat, di sini.
“Pelaksanaan projek telah diserahkan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia untuk dilaksanakan secara kaedah reka dan bina.
“Pihak JKR telah melaksanakan kerja-kerja awalan di tapak dan dalam peringkat penyediaan reka bentuk bagi persediaan iklan tender projek,” ujar Madius.
Untuk rekod, pembinaan bangunan baharu SMK Nabalu yang dilengkapi 18 bilik darjah telah diluluskan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 Rolling Plan Tahun 2023 dengan peruntukan sebanyak RM110 juta.
Madius berkata, KPM turut mengambil maklum cadangan beliau tentang reka bentuk pembinaan sekolah menengah baharu iaitu SMK Laya-Laya, Tuaran.
“KPM akan meneliti kaedah reka bentuk dan pelaksanaan projek SMK Laya-Laya bersama-sama agensi teknikal bagi mengelakkan sekolah daripada terkesan akibat banjir.
“Sementara itu, KPM menjelaskan bahawa semakan bersama Jabatan Pengairan dan Saliran Sabah mendapati Sekolah Kebangsaan (SK) Laya-Laya Tuaran tidak diklasifikasikan sebagai kawasan berisiko banjir.
“Walau bagaimanapun, KPM sentiasa meneliti dari semasa ke semasa, dan sekiranya ada pengesahan daripada agensi teknikal dan terdapat keperluan untuk pembinaan baru gantian di tapak baharu, permohonan akan dikemukakan dalam Rancangan Malaysia Lima Tahun (RMLT),” katanya.
































