Armizan Mohd. Ali
KOTA KINABALU: Penduduk di kawasan berisiko banjir akan menerima notis secara serta-merta menerusi sebaran sistem pesanan ringkas (SMS) dan flash broadcast setelah menerima tanda amaran daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
Sebaran notis oleh Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) di bawah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA itu akan disalurkan menerusi syarikat-syarikat telekomunikasi.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, sebagai persediaan menghadapi bencana banjir susulan Monsun Timur Laut (MTL), seramai 61,839 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi kerajaan di semua peringkat bersedia untuk digerakkan dengan sokongan pelbagai asset.
Malah, NDCC telah mula beroperasi 24 jam setiap hari dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) juga mengarahkan semua Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) daerah diaktifkan bagi tujuan pemantauan dan koordinasi pengurusan bencana.
Menurut beliau, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) juga diminta untuk melaksanakan persediaan sewajarnya lebih awal bagi memastikan penyampaian bantuan sewaktu bencana berjalan dengan lancar.
Sebelum ini, JPS menyatakan sebanyak 5,648 lokasi hotspot banjir telah dikenal pasti meliputi 161 buah daerah di seluruh negara.
“Pada masa yang sama, NDCC akan sentiasa berkongsi maklumat terkini dan amaran bencana kepada pelbagai pihak termasuk juga pegawai daerah selaku JPBD dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi meningkatkan lagi tahap kesiapsiagaan menghadapi bencana.
“Semua pihak dinasihati untuk sentiasa peka dengan situasi semasa dan amaran yang dikeluarkan pihak berwajib.
“Orang awam turut diminta untuk mematuhi sebarang arahan untuk berpindah dan mengambil langkah-langkah keselamatan yang sewajarnya bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini,” katanya dalam satu kenaytaan.
Menurut Armizan, biarpun MTL dijangka bermula pada 11 November namun sejak 23 Oktober lalu, sebanyak 20 pusat pemindahan sementara (PPS) telah dibuka bagi menempatkan 962 keluarga melibatkan 3,116 mangsa akibat bencana banjir yang melibatkan di negeri Kedah, Pahang, Perak dan Selangor.
Setakat semalam, sebanyak 15 PPS sedang beroperasi menempatkan sebanyak 341 keluarga dengan seramai 1,249 mangsa keseluruhan melibatkan Perak dan Selangor. Kawasan dan mangsa yang terkesan dijangka terus meningkat dalam tempoh MTL.


































