Michael (kiri) menyerahkan kepala katil kepada Jais, sebagai gimik penyerahan bantuan katil dan tilam sambil disaksikan Jenddy (tengah) dan yang lain.
KOTA KINABALU: The Malaysian Church of Jesus Christ of Latter-day Saints menyumbangkan 400 unit katil boleh laras dan 200 tilam riak bernilai RM1 juta kepada Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah di sini hari ini.
Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat (KPMKR), Datuk James Ratib yang menerima sumbangan tersebut mengucapkan terima kasih kepada Malaysian Church of Jesus Christ of Latter-day Saints atas sokongan mereka terhadap program Homeward yang diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri.
“Adalah satu rahmat apabila kami mendapat sokongan daripada anda semua. Ini sememangnya berita yang sangat baik, terutamanya kepada pesakit yang kurang bernasib baik yang memerlukan peralatan tersebut.
“Kita mengharapkan sokongan berterusan daripada Malaysian Church of Jesus Christ of Latter-day Saints dalam meningkatkan kualiti hidup rakyat yang memerlukan di Sabah,” katanya. Ucapannya dibacakan oleh Setiausaha Politiknya, Jenddy Sanggau.
James yang juga ADUN Sugut berkata, program Homeward yang merupakan salah satu perkhidmatan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat Sabah.
“Program ini membantu pesakit dengan menyediakan perkhidmatan pinjaman peralatan sokongan pemulihan perubatan secara ‘loner cycle’ di seluruh Sabah.
“Objektif utamanya antara lain adalah untuk menyediakan peralatan sokongan pemulihan perubatan bagi membantu penerima Bantuan Kronik Pesakit Terbaring di Katil, Warga Emas, Orang Kurang Upaya dan Pesakit dari Palliative Care ke arah meningkatkan kualiti penjagaan pesakit.
“Selain itu, ia juga memberi peluang kepada pesakit menjalani pemulihan dan penjagaan dalam persekitaran keluarga serta menyara golongan yang memerlukan secara langsung di bawah inisiatif Sabah Maju Jaya,” katanya.
Langkah ini juga dapat mengurangkan jumlah permohonan kemasukan ke Institusi Warga Emas dan Orang Kurang Upaya yang sudah mencapai kapasiti maksimum.
“Pelaksanaan program ini telah menunjukkan impak yang amat jelas seperti 200 pesakit terlantar atau penerima Bantuan Pesakit Terbaring Kronik yang menunggu giliran mendapat manfaat daripada peralatan sokongan.
“Ia juga berjaya memendekkan tempoh menunggu giliran daripada 200 hari kepada 100 hari. Dan pesakit yang telah menjalani rawatan di hospital boleh pulang segera dan menjalani pemulihan di rumah,” katanya.
Sementara itu, James berkata, sebelum ini, Yayasan PETRONAS telah menyumbangkan 405 unit katil boleh laras dan 13 kepekatan oksigen.
Katanya, pelaksanaan fasa 1 program Homeward dari Januari hingga April 2022 telah berjaya dilaksanakan 100 peratus dan memberi kesan cemerlang kepada lebih 400 pesakit yang memerlukan.
“Bagaimanapun, jumlah ini tidak dapat menampung keperluan sebenar di Sabah. Jabatan ini mempunyai seramai lebih 2,000 permohonan untuk Bantuan Pesakit Kronik,” katanya.
Beliau seterusnya berkata, program ini merupakan keutamaan Kerajaan di bawah inisiatif SMJ dan mendapat perhatian khusus YANG di-Pertua Negeri Sabah untuk meneruskan pelaksanaannya.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Sabah, Jais Asri, Timbalan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Sabah, Ali Hassan Kahar dan Setiausaha Eksekutif Majlis Khidmat Masyarakat Sabah, Joeanne Lee.
Sementara rombongan Malaysian Church of Jesus Christ of Latter-day Saints termasuk Penasihat Ke-2 Hong Kong yang berpangkalan di Kawasan Asia dalam Presidensi Kawasan, Elder Michael Tey, Pengurus untuk seluruh Asia untuk Projek Kemanusiaan yang berpangkalan di Hong Kong, Mickey Lui, Presiden Daerah untuk Gereja di Sabah Utara, Jopius Mekeg, dan sukarelawan dari Kanada, Elder Daniel Kane dan Sister Kane.


































