Andi Muhammad Suryady Bandy
KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy menggesa Kerajaan Persekutuan melaksanakan segera langkah mitigasi banjir di Kalabakan menerusi pembinaan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Pasir Putih Bypass.
“Saya percaya langkah ini akan mengurangkan impak berlakunya banjir di kawasan sekitar. Masalah banjir ini telah memberikan kesan kepada beribu penduduk disebabkan kekerapan banjur yang berlaku ketika hujan lebat,” katanya.
Selain itu, beliau berharap agar Kerajaan memberikan perhatian bagi menyegerakan pembinaan baharu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kalabakan yang pada ketika ini berada dalam keadaan sangat usang dan tidak lagi sesuai untuk digunakan oleh para pelajar.
“Dalam masa yang sama, saya juga memohon agar pihak Kerajaan memberikan perhatian agar kelas Tingkatan 6 dan Kelas Pendidikan Khas dibuka di sekolah ini memandangkan ianya merupakan keperluan yang sangat mendesak oleh murid-murid yang jumlahnya ramai hinggakan ada di antara mereka terpaksa berpindah ke sekolah lain yang jaraknya melebihi 50 kilometer bagi meneruskan pelajaran,” katanya ketika membahas Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat, Kuala Lumpur, Rabu.
Andi yang juga ADUN Tanjung Batu turut memohon penyegeraan pembinaan Jalan Kampung Pasir Putih ke Tanjung Batu Logpond bagi memberikan kemudahan dan keselesaan kepada penduduk setempat yang berhadapan kesesakan aliran trafik setiap hari memandangkan hanya ada satu jalan perhubungan utama yang digunakan oleh hampir 5,000 orang penduduk.
Mengenai isu “orang tanpa kerakyatan” ataupun yang lebih dikenali sebagai Palauh khususnya di Sabah, beliau yang tanpa niat menafikan hak asasi kehidupan mereka berkata, tindakan yang tuntas perlu direncana dalam menguruskan aspek melibatkan status kerakyatan, kebajikan, pendidikan dan apa jua yang dirasakan perlu melibatkan golongan ini.
“Saya bukanlah mahu menafikan hak asasi kehidupan mereka, tetapi ini adalah isu semasa yang membelenggu terutamanya di Pantai Timur Sabah dan tindakan menang-menang perlu kita implementasi segera,” katanya.
Beliau juga membangkitkan berkenaan tahap keselamatan sempadan darat dan laut di Parlimen Kalabakan untuk mengurangkan aktiviti penyeludupan, dadah dan pemerdagangan manusia.
Katanya, kawalan sempadan berada di tahap yang lemah disebabkan kekurangan pos kawalan, kekurangan asset persenjataan, teknologi pertahanan dan bot laju bagi tujuan rondaan.
Justeru, beliau berharap belanjawan pertahanan sejumlah RM19.7 billion dapat menambah aset pertahanan selengkapnya di kawasan ini.
Andi yang juga Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian dan Kesuahawanan mencadangkan agar Lapangan Terbang Tawau yang merupakan lapangan terbang kedua terbesar selepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) dinaik taraf menjadi lapangan terbang antarabangsa memandang perkara ini sudah disuarakan sejak beberapa tahun, namun dipandang sepi oleh pihak Kerajaan.
“Hasrat ini dibuat kerana ianya berupaya untuk merancakkan sektor ekonomi di kawasan sekitar Pantai Timur Sabah, mengurangkan kesesakan trafik udara di KKIA, serta memudahkan pelancong terbang terus ke kawasan pelancongan terkenal di Sabah seperti Pulau Sipadan, Pulau Mabul, Maliau Basin, Imbak Canyon dan Lembah Danum.


































