MANILA: Gempa bumi berukuran 6.2 skala Richter menggegarkan wilayah Cagayan di utara Filipina pada pagi tadi.
Menurut Utusan Malaysia, agensi Xinhua melaporkan, perkara itu dimaklumkan oleh Institut Vulkanologi dan Seismologi Filipina.
Menurut institut itu, gempa bumi itu berlaku pada pukul 11.35 pagi (waktu tempatan).
Jelasnya, gempa itu melanda pada kedalaman 10 kilometer, kira-kira 22 kilometer (km) timur laut Dalupiri.
Institut itu memaklumkan gempa tektonik dijangka mencetuskan gegaran susulan namun tidak akan menyebabkan kerosakan.
Kepulauan Filipina mempunyai aktiviti seismik yang kerap disebabkan lokasinya yang berada di sepanjang Lingkaran Api Pasifik.































