Dr. Joachim Gunsalam
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri kini dalam proses meneliti undang-undang bagi mengawal dengan betul operasi Airbnb di Sabah.
Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam berkata, ia mungkin menjadi kesalahan dari segi undang-undang untuk Airbnb dikendalikan di kondominium atau perumahan persendirian kerana mereka perlu menjadi entiti perniagaan.
“Sebagai sebahagian daripada Kerajaan, saya amat prihatin dengan kejadian ini. Bagi saya ini semua mengenai peraturan Airbnb dan terdapat beberapa piawaian minimum (untuk dipatuhi),” katanya apabila ditanya mengenai kes pelancong yang menyewa Airbnb menemui kamera tersembunyi di dalam bilik mereka, ketika ditemui pada majlis perasmian Konsulat Republik Korea di Plaza Shell, di sini, kelmarin.
Dr. Joachim berpendapat pengendali Airbnb hanya perlu menyewakan premis mereka kepada rakan rapat atau orang yang mereka kenali.
Pengeluaran permit Airbnb bukan di bawah bidang kuasa Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan, kata beliau apabila ditanya.
Beliau turut menggesa pelawat ke Sabah untuk menempah penginapan berlesen dengan betul dan juga menasihatkan pengusaha menjalankan perniagaan mereka secara profesional.
Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan (MOTAC) memandang serius dakwaan yang dibuat oleh pasangan dari China itu.
Menterinya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, Kerajaan Sabah, MOTAC Sabah dan agensi berkaitan diminta mengambil tindakan tegas terhadap dakwaan yang didedahkan di platform media sosial Xiaohongshu yang berpangkalan di Shanghai pada 14 Sept dan kemudiannya dikongsi oleh portal berita tempatan.