Nattarika mendakwa mengalami kecederaan di muka dan badannya.
BANGKOK: Seorang wanita di Thailand mendakwa pekerja hotel bertindak menyerangnya hanya kerana lewat membayar kos penginapan.
Menurut Utusan Malaysia, thethaiger.com melaporkan, mangsa dikenali sebagai Nattarika, 26, mendapatkan bantuan daripada pertubuhan bukan berdasarkan keuntungan, Saimai Survive selepas insiden pergaduhan fizikal berlaku di sebuah hotel terletak di daerah Thanya Buri di wilayah Pharum Thani.
Mengimbas kembali kejadian menimpanya, Nattarika berkata, rumahnya terletak berhampiran hotel itu dan dia memutuskan untuk menginap di sana buat sementara waktu disebabkan menghadapi masalah keluarga.
Menurut Nattarika, dia pada mulanya menempah bilik hotel untuk satu malam pada 20 September lalu dan tidak melakukan bayaran sebelum penginapannya.
Wanita itu memaklumkan dia sebenarnya mahu membuat bayaran pada keesokan harinya namun menghadapi masalah apabila telefonnya rosak.
Malah, katanya, ketika itu, dia bercadang untuk melanjutkan tempoh penginapannya di hotel tersebut dan sudah memaklumkan kepada seorang pekerja hotel syif pagi mengenainya termasuk akan melakukan bayaran lewat.
Jelasnya, pekerja hotel itu bersetuju dengan permintaannya namun seorang kakitangan yang bekerja syif malam pula menghubunginya dan menuntut melakukan bayaran dengan segera.
“Kira-kira pukul 7 malam, pekerja itu mengetuk pintu bilik wanita itu dan menyuruhnya keluar dari hotel.
“Nattarika terpaksa ke lobi dan menunggu sehingga memindahkan wang. Dia kemudian menghantar resit transaksi itu menerusi aplikasi LINE dan menunggu pengesahan penginapannya namun pekerja itu berdiam diri.
“Wanita itu kemudian bertanya kepada pekerja sama ada sudah menerima resit pemindahan wang. Perbualan itu bertukar menjadi pertengkaran dan serangan fizikal,” jelas laporan.
Tambah Nattarika, dia mengalami luka di muka dan badannya akibat serangan fizikal dilakukan oleh pekerja hotel itu.
Nattarika memfailkan laporan di Balai Polis Pratunam Chulalongkorn dan setakat ini, tiada maklumat terkini mengenai perkembangan kes itu.