Gambar hiasan
BANGKOK: Hampir 100 orang dipercayai mati lemas di Myanmar selepas sebuah kapal milik tentera karam di Sungai Chindwin di wilayah Sagaing di barat laut, menurut saksi dan laporan pihak berkuasa.
Menurut Utusan Malaysia, akhbar The Irrawaddy yang memetik tentera dan penduduk tempatan melaporkan, lebih 100 orang disyaki menaiki kapal tersebut yang juga sebahagian konvoi kapal tentera.
Menurut laporan, setakat ini, hanya tujuh orang ditemukan hidup.
Pada 21 September lalu, tujuh mayat ditemukan manakala baki penumpang masih hilang dan dianggap sudah meninggal dunia susulan insiden yang berlaku Selasa lalu.
Dilaporkan, kapal itu membawa anggota tentera, selain merupakan sebahagian daripada konvoi membawa bekalan dan pasukan askar baharu ke wilayah yang bergolak, terkandas selepas terlanggar batu dekat perkampungan Mingin.
Selain askar, kapal berkenaan dikatakan turut membawa pelajar dan guru.
Tentangan terhadap rampasan kuasa tentera Myanmar masih kuat di Sagaing yang mana pasukan tentera bergelut mengawal situasi, menyebabkan lebih banyak keganasan berlaku di kawasan tersebut.
Kumpulan anti rampasan kuasa pula mengenakan undang-undang sendiri di kawasan mereka.
Lebih 700,000 penduduk kehilangan tempat tinggal akibat serangan tentera.
Cubaan menyelamat terhalang memandangkan tentera berada dalam kapal yang karam itu.
“Apabila ada tragedi kapal karam, penduduk di sini biasanya saling membantu tetapi sejak rampasan kuasa berlaku, situasi amat berisiko.
“Malah, kami tidak memiliki peralatan sesuai untuk membantu mereka,” kata penduduk bernama Min Thu kepada agensi berita DPA.
Jelasnya, ramai penduduk takut kerana ia merupakan kapal tentera.
“Buat masa ini, harapan amat tipis untuk menemukan mangsa yang masih hidup, dengan cuaca bertambah buruk dan arus semakin deras sehingga ada mayat ditemukan tetapi tidak dapat dibawa keluar,” katanya.