Dr. Joachim (depan, dua dari kiri), Setiausaha Agung PBS, Datuk Julita Majungki (tiga dari kiri), Ketua Wanita PBS, Malianah Ugau (empat dari kiri) dan Ketua Pemuda PBS, Christoper Mandut (kiri), melaungkan slogan keramat parti ‘BERSATU’.
PENAMPANG: Pergerakan Pemuda dan Wanita Parti Bersatu Sabah (PBS) perlu berani bersuara lantang dengan isu-isu semasa dan juga memberi idea-idea yang baharu dan bernas, kata Timbalan Presiden PBS, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam.
“Walau bagaimanapun, dalam menyuarakan isu-isu yang penting, kita juga perlu memahami dan mengetahui isu secara mendalam agar tidak tersalah fakta yang hendak disampaikan,” katanya ketika merasmikan Persidangan Perwakilan Pemuda dan Wanita PBS, Kongres PBS ke-38, di Dewan Hongkod Koisaan, di sini, hari ini.
Dr. Joachim berkata, keunikan atau keistimewaan pemuda dan sebilangan besar dari wanita PBS adalah ramai antara mereka yang cilik IT atau fasih menggunakan teknologi digital yang cangih.
Tambahnya, zaman sekarang ini memerlukan ilmu atau kepakaran menggunakan teknologi digital atai IT bukan sahaja untuk kerja harian tetapi juga untuk menyebarkan maklumat kepada rakan-rakan mereka dimana saja mereka berada.
“Bayangkan kalau kita ada kumpulan dalam 20 orang, dan setiap 20 ini ada 5 kumpulan yang lain, dalam satu klik sahaja kita dapat sebarkan maklumat kepada 100 orang, dan saya percaya kamu mempunyai lebih dari satu “chat group” yang kita boleh majukan atau forwardkan mesej setiap minit. Ini lah senjata yang paling berkesan untuk menyebarkan idea idea kepada orang awam dan ahli ahli kita.
“Justeru itu, saya menyerankan kita semua tetapi lebih kepada Sayap Pemuda dan Wanita untuk mengembangkan parti kita,” katanya.

Menghormati sejarah dan perjuangan PBS
Mengajak para perwakilan menghayati sejarah dan perjuangan PBS, Dr. Joachim berkata, PBS ditubuhkan atas landasan yang kukuh serta diterajui oleh pemimpin yang amat disegani ia itu, Tan Sri Huguan Siou Joseph Pairin Kitingan pada masa dahulu dan sekarang ini Datuk Seri Dr. Maximus Johnity Ongkili.
“Bukan sahaja disegani tetapi dalam pada mereka adalah pemimpin yang perlu dijadikan sebagai teladan dan idola kita kerana mereka mempunyai ciri ciri kepimpinan yang amat tinggi seperti kewibawaa, kesabaran, ketabahan, pendekatan sederhana dan keberanian memimpin walaupun dalam keadaan tidak sempurna atau dalam keadaan yang mencabar dari segala sudut.
“Kita perlu mempelajari dan menghormati sejarah selain memahami dan menghayati intipati perjuangan kita,” ujarnya.
Katanya, dalam masa PBS berada selama 38 tahun, PBS telah mengalami berbagai-bagai dugaan dan cabaran.
Jelasnya, PBS telah melalui beberapa fasa dalam 38 tahun memperjuangkan ideologi politiknya iaitu;
• Pertama adalah fasa kegemilangan iaitu bermula pada penubuhan dimana dalam kurang dari setahun ditubuhkan, PBS telah memenangi PRN melalui simple majority. Namun oleh sebab ketidak stabilan politik Ketua Menteri waktu itu (Presiden Parti PBS) terpaksa membubar Dewan Undangan Negeri dan mengadakan PRN sekali lagi.
• Fasa kedua adalah musim 1986 hingga 1991 yang beleh dikatakan kegemilangan PBS.
• Seterusnya fasa ketiga adalah masa kejatuhan yang bermula pada tahun 1994 ketika ramai pemimpin PBS melompat meninggalkan Pairin dan Maximus Ongkili. Pada masa itu, PBS hampir hilang dan dikuburkan namun semangat juang dua pemimpin utama kita bersama dengan sokongan Wanita, pemuda dan akar umbi, PBS dapat bertahan dan terus gah.
• Fasa kempat adalah bermula pada tahun 2002, dimana PBS diterima masuk balik ke dalam kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk menstabilkan politik tempatan dan menghentikan penggiliran Ketua Menteri Sabah. Sejak daripada itu, PBS mula bangkit dan bangun semula; kita mula mendapat tempat dihati rakyat Sabah sekali lagi.
“Sekarang kita sudah dalam fasa seterusnya iaitu memperkaskan dan meneruskan perjuangan yang masih belum selesai.
“Sekarang juga adalah fasa peralihan dan pengukuhan pemimpin pemimpin pelapis. Oleh sebab itu saya mengajak kita semua Pemuda dan Wanita untuk sama sama bangkit dan semua kita menjadi sebahagian dari proses kebangkitan ini. Maka mari lah kita bangkitkan semangat 1985, dimana kita semua Bersatu, tidak kira miskin dan kaya, tidak kira pangkat dan kedudukan tapi bangkit lah untuk satu negeri, satu tujuan dan satu perjuangan – iaitu perjuangan Parti Bersatu Sabah!
“Pada masa yang sama, kita perlu realistik dan terbuka kepada perubahan. Dunia politik terus berubah, dan kita perlu bertransformasi untuk tetap relevan dan berdaya saing. Mari kita jadi agen perubahan yang membawa PBS ke arah yang lebih progresif dan inklusif.”

Way forward, kepimpinan, meremajakan parti
Dr. Joachim turut menggesa semua pemimpin dan ahli parti untuk sama-sama bersedia dan persiapkan diri untuk mengambil alih kepimpinan dalam parti, bila diperlukan.
“Adakah Pemuda dan Wanita sudah bersedia?
“Saya percaya bahawa masih ramai lagi peminat parti PBS ini. Cuma yang diperlukan adalah pemimpin yang cekal dan tabah serta kental dan berintegriti untuk memimpin. Ini yang kita mahu cungkil daripada kamu semua mulai hari ini. Saya yakin sebab banyak juga daripada kamu yang berpendidikan tinggi, berilmu dan sebagainya. Hanya perlu diasah dan ditambah untuk memimpin parti agar PBS menjadi sebuah parti kebanggaan kita semua.
“Seruan Presiden PBS untuk meremajakan PBS bukan angan-angan kosong, tetapi idea yang perlu dijadikan realiti. Untuk makluman semua, idea meremajakan PBS bukan sahaja berkait dengan pemimpin-pemimpin muda, tetapi juga berkait-rapat dengan pentadbiran yang sistematik, cara berkempen baharu dan penggunaan platform digital. Pendek kata, kita harus bersedia untuk berubah mengikut peredaran zaman,” katanya.
Dr. Joachim yang juga Timbalan Ketua Menteri II berkata, PBS juga memerlukan lebih ramai lagi pemuda dan belia-beliawanis berjuang bersama PBS.
“Kita perlu lebih ramai pemimpin pelapis yang muda, komited dan berintegriti.
“Kita harus kreatif dan aktif membawa ahli-ahli baharu khususnya dikalangan belia-beliawanis. Mereka perlu kenal PBS – sebab tak kenal maka tak cinta. Kita perlu ada sinonim baharu – PBS adalah parti yang berprinsip dan tegas dengan perjuangan yang sama,” ujarnya.
Jelasnya, antara perjuangan utama PBS adalah;
a) PBS adalah parti berbilang kaum;
b) Memperjuangkan hak-hak Sabah (MA63) sejak awal;
c) Mendesak penyelesaian projek IC;
d) PBS memperjuangkan dasar anti lompat 3; dan
e) PBS mengutamakan keselamatan sempadan dan kemakmuran ekonomi setempat.































