PENAMPANG: Parti Bersatu Sabah (PBS) komited sepenuhnya untuk bekerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada pilihan raya akan datang, tegas Timbalan Presiden PBS, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam.
Beliau berkata, keadaan politik di negeri bukan lagi sama seperti pada masa lampau.
“Sekarang kita perlu realistik bahawa kemungkinan besar, tidak ada lagi satu parti yang boleh mendominasikan seluruh negeri seperti pada era USNO, Berjaya dan PBS dahulu.
“Kita kena akur bahawa kita perlu ada rakan seperjuangan untuk sama-sama menerajui kerajaan pada masa akan datang. Kita perlu kuatkan kerjasama kita bersama dengan GRS dan kepimpinan tertinggi PBS is fully committed untuk berkerjasama dengan GRS pada pilihan raya akan datang.
“Pendekatan ini amat penting supaya kita sampaikan ke peringkat akar umbi agar tidak ada kekeliruan dikalangan penyokong PBS dan GRS,” katanya ketika merasmikan Persidangan Perwakilan Pemuda dan Wanita PBS, Kongres PBS ke-38, di Dewan Hongkod Koisaan, di sini, hari ini.

Dr. Joachim Gunsalam
Cadangan gabungan atau kerjasama dengan STAR
Berkenaan dengan cadangan yang diumumkan oleh Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Dr. Joachim berkata, beliau beri ruang kepada perwakilan Pemuda dan Wanita untuk berbahas apakah bentuk dan mekanisma gabungan atau kerjasama.
“Yang amat jelas adalah, kita dalam PBS akan memberi jaminan yang tidak berbelah-bahagi tentang kerjasama bersama parti GRS yang mana PBS dan STAR adalah komponen yang penting.
“Saya menyarankan agar kita boleh berkerjasama dengan lebih erat dengan STAR sebab mereka ini adalah sebenarnya bermula daripada Parti Bersatu Sabah dan perjuangan mereka juga tidak jauh daripada perjuangan kita,” katanya yang juga Timbalan Ketua Menteri II.
Kebersamaan dan kesetiaan
Dr. Joachim turut mengajak semua pemimpin dan ahli PBS untuk bersama-sama memperkukuhkan kesetiaan kepada parti.
“Kita adalah satu keluarga politik, dan hanya bila bersatu, kita dapat mencapai matlamat bersama untuk memajukan Parti dan Negeri Sabah. Seharusnya tidak ada perbezaan atau jurang antara Remuda dan Wanita. Kebersamaan dan kesaksamaan gender harus menjadi intipati perjuangan PBS.
“Dalam bidang politik, isu utama adalah kurangnya perwakilan wanita. Wanita masih menjadi minoriti dalam kebanyakan jawatan politik. Ini adalah cabaran yang kita semua perlu hadapi bersama-sama. Wanita PBS perlu menggandakan usaha mendapatkan lebih ramai wanita khususnya beliawanis untuk menjadi ahli PBS. Mungkinkah Wanita PBS perlu wujudkan barisan Puteri PBS? Saya serahkan kepada perwakilan semua untuk membincangkannya.
“Selain itu, akses wanita kepada pendidikan politik dan latihan kepemimpinan juga perlu ditingkatkan. Kita perlu memastikan bahawa wanita mendapat peluang yang sama untuk membangunkan kemahiran dan pengetahuan politik mereka.
“PBS terbuka kepada cadangan dan penambahbaikan daripada para perwakilan Wanita PBS. Ambillah peluang ini untuk memberikan dan membahaskan idea dan pandangan tentang isu ini,” katanya.































