Keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah di SICC.
KOTA KINABALU: “Memang sukar memajukan Sabah dengan sekelip mata, ia memerlukan kestabilan politik perpaduan rakyat.”
Demikian titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam Majlis Santapan Negeri Sabah sempena Program Kembara Kenali Borneo.
“Penduduk Sabah harus memahami Sabah antara negeri yang paling besar di Malaysia ini dan sedar memang sukar untuk memajukan Sabah dengan sekelip mata.
“Ia memerlukan satu kestabilan politik, perpaduan rakyat, baru boleh kita majukan sesebuah negeri termasuklah negeri di Semanjung sekalipun.“ Jika kita mempunyai kestabilan politik, rakyat yang bersatu-padu saya percaya negeri itu akan lebih maju jika dibandingkan dengan negeri yang tidak stabil dan tidak dimajukan.
“Pada saya inilah acuan untuk kita majukan sesebuah negeri ataupun sesebuah daerah sekalipun,” titah Baginda.
Al-Sultan Abdullah berharap perancangan transformasi “Sabah Maju Jaya” akan dapat direalisasi dan dijadikan ukuran kepada pembangunan di Sabah pada masa akan datang.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah melambai tangan ketika berangkat meninggalkan SICC.
Lebih penting lagi, Seri Paduka Baginda berharap kedatangannya ke Sabah pada kali ini dapat membina jambatan silaturahim yang berupaya mengukuhkan lagi persaudaraan dan membentuk ikatan perpaduan di antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia.
“Kita merupakan sebuah negara merdeka yang berdiri penuh megah di bawah satu bendera bernama Jalur Gemilang.
“Marilah kita bersama-sama berusaha untuk mempertahankan kesatuan ini dan menolak segala perbezaan serta menghayati sejarah kemerdekaan dan pembentukan Malaysia demi masa depan negara yang gemilang,” titah Baginda lagi.
Turut berangkat pada majlis tersebut ialah Seri Paduka Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Hadir sama, Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin serta isteri, Toh Puan Norlidah R.M Jasni; Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusof; Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan Speaker DUN Sabah Datuk Seri Panglima Kadzim M Yahya.
Seri Paduka Baginda berdua yang berada di Sabah sejak Ahad telah menjelajah Lebuhraya Pan Borneo Sabah bermula dari Daerah Tawau, Lahad Datu, Sandakan, Telupid, Ranau, Kota Belud dan Kota Kinabalu dengan jarak 769 km dan akan meneruskan perjalanan ke Penampang dan Sipitang sejauh 256 km lagi untuk melengkapkan 985 km di bumi Sabah, hari ini.