Pasukan SAR yang terlibat dalam pencarian mangsa. – Ihsan Bomba
KOTA BELUD: Seorang remaja perempuan yang dilaporkan hilang dibawa arus sungai semasa mandi-manda bersama keluarga di sini pada 28 Ogos telah ditemukan lemas hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, PPgB Muhammad Syazwan Latun berkata, mayat mangsa, Qiezlle Uyiko, 14, dijumpai oleh pasukan bomba pada jam 10.20 pagi tadi, kira-kira lima kilometer dari lokasi Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK).
Katanya, pasukan bomba seterusnya membawa mayat mangsa ke PKTK dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut, sebelum operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari ketiga ditamatkan sepenuhnya pada jam 12 tengah hari tadi.
Muhammad Syazwan berkata, kejadian itu berlaku di Daradaat View, Kampung Ratau, pada kira-kira jam 2.30 petang Isnin (28 Ogos).
Katanya, panggilan mengenai kejadian itu diterima menerusi talian MERS999 dan sepasukan 11 anggota bersama sebuah bot dan kenderaan utiliti diketuai beliau sendiri sebagai Komander Operasi bergegas ke lokasi.
Mereka juga dibantu oleh lima orang anggota Unit Pasukan Penyelamat Dalam Air (PPDA).
Turut serta dalam operasi SAR ialah dua anggota Unit Dron JBPM Zon Kudat, 30 anggota polis, 11 anggota Pasukan Gerakan Am (PGA), 10 anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia(APM) dan NGO Rafting Borneo, seramai enam orang.
“Setiba di lokasi yang terletak di jarak 17 kilometer dari BBP itu, kita mendapati mangsa dilaporkan hilang di sungai dan dibawa arus.
“Menurut saksi mangsa dilaporkan berada di bawah Jambatan Gantung Daradaat View melakukan aktiviti mandi manda bersama keluarga,” katanya.
Muhammad Syazwan berkata, pasukan bomba menjalankan operasi SAR kepada dua bahagian iaitu operasi SAR di sepanjang pinggir sungai sehingga empat kilometer dan juga operasi SAR dengan radius 50 meter dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.