Spesimen larva ophidascaris robertsi yang dikeluarkan dari otak seorang pesakit wanita.
CANBERRA: Sekumpulan doktor di sebuah hospital di Australia terkejut selepas menemukan cacing parasit yang masih hidup dalam otak seorang wanita ketika menjalani pembedahan.
Penemuan cacing hidup dalam otak pesakit itu merupakan kes yang pertama di dunia.
Menurut Utusan Malaysia, The Guardian melaporkan, pakar bedah saraf, Dr. Hari Priya Bandi mengeluarkan cacing bulat parasit berukuran lapan sentimeter daripada otak pesakit wanita berusia 64 tahun itu.
Situasi itu mendorong Hari Priya menghubungi pakar penyakit berjangkit di hospital, Dr. Sanjaya Senanayake dan rakan sekerja lain untuk mendapatkan nasihat mengenai tindakan seterusnya yang perlu dilakukan.
Dilaporkan, cacing bulat berukuran lapan sentimeter itu biasanya ditemukan dalam ular sawa.
Wanita berasal dari New South Wales pada mulanya dimasukkan ke hospital pada Januari 2021 selepas mengadu mengalami sakit perut dan cirit-birit selama tiga minggu, diikuti batuk kering berterusan dan demam.
Setelah wanita itu mula mengalami simptom kealpaan dan kemurungan pada tahun 2022, dia dirujuk ke hospital Canberra.
Hasil imbasan MRI (pengimejan resonans magnetik) mendapati wujudnya keabnormalan pada lobus hadapan kanan otak pesakit itu yang memerlukan pembedahan.
“Namun, pakar bedah saraf itu sudah pastinya tidak menyangka akan menemukan cacing yang masih hidup,” jelas laporan itu.
Dalam pada itu, Sanjaya berkata, pihaknya menghantar sampel cacing bulat itu ke makmal saintis CSIRO yang mempunyai pengalaman dan pengetahuan luas mengenai parasit.
Katanya, makmal mengesahkan ia merupakan Ophidascaris robertsi.
Dilaporkan, Ophidascaris robertsi merupakan cacing bulat yang biasanya ditemukan dalam ular sawa.
“Pesakit itu tinggal berhampiran kawasan tasik yang mempunyai ular sawa. Meskipun, tiada sentuhan secara langsung dengan reptilia itu, dia sering mengambil sayuran dari sekitar tasik untuk digunakan dalam masakannya,” katanya.