Hajiji melakukan gimik pelancaran projek di tapak projek Loji Rawatan Air Kogopon Fasa II hari ini.
PAPAR: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor berkata, Empangan Hidroelektrik bernilai RM4 bilion akan dibina di Ulu Padas, Tenom sebagai penyelesaian jangka panjang kepada kekurangan air di Sabah.
Bakal dilancarkan pada Oktober, beliau berkata, empangan yang dijangka siap pada 2027 itu mempunyai kapasiti 6,000 juta liter sehari (MLD).
“Ia adalah projek usaha sama antara Kerajaan Negeri melalui Sabah Energy Corporation dan sektor swasta,” katanya selepas melancarkan projek Loji Rawatan Air Kogopon Fasa II di sini hari ini.
Ketua Menteri berkata, Kerajaan Negeri juga kini sedang menjalankan kajian kebolehlaksanaan Empangan Papar atau Kaiduan sebagai satu lagi penyelesaian jangka panjang kepada masalah kekurangan air dan untuk menampung keperluan pelabur.
Mengenai masalah bekalan air di Tuaran sehingga ke Universiti Malaysia Sabah (UMS), Ketua Menteri berkata, ia dijangka dapat diselesaikan pada penghujung tahun ini sebaik sahaja isu yang dihadapi oleh projek Loji Rawatan Air Telibong telah ditangani.
Hajiji memberi jaminan bahawa Kerajaan Negeri sedang berusaha sedaya upaya untuk menangani masalah air termasuk di Sandakan, Tawau dan Lahad Datu.
Sementara itu, Loji Rawatan Air Kogopon akan menjalani kerja-kerja menaik taraf RM379 juta di bawah pembangunan Fasa II untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran kepada 80 juta liter sehari (MLD) yang memanfaatkan kira-kira 160,000 pengguna di Putatan, Kinarut, Lok Kawi dan sekitarnya.
Beliau berkata, projek itu akan meningkatkan liputan bekalan air bagi menampung permintaan industri, khususnya Terminal Minyak dan Gas Sabah (SOGT) dan Presint Agro-Industri Sabah (SAIP) di bawah Koridor Pembangunan Sabah sehingga 2040.
“Ia akan membantu menangani kekurangan air di selatan Pantai Barat,” katanya.
Hajiji juga mengarahkan Jabatan Air memantau dengan ketat kemajuan projek itu bagi memastikan ia dapat disiapkan mengikut jadual tiga tahun dari sekarang.
“Saya tidak mahu melihat projek itu tertangguh dan rakyat akhirnya dinafikan bekalan air,” katanya.
Terdahulu, Ketua Menteri telah diberi taklimat bahawa Loji Rawatan Air Kogopon pada masa ini mempunyai kapasiti pengeluaran sebanyak 40MLD dan projek menaik taraf itu akan meningkatkan pengeluaran sebanyak 40MLD lagi.
Antara skop projek ialah pembinaan loji rawatan baharu (berkapasiti 40 MLD), takungan pengimbang berkapasiti 10 juta liter, tiga tangki agihan di Kimanis, Kampung Nagapas (Papar) dan Kampung Ketiau (Putatan) dan menaik taraf pengambilan air.
Turut hadir Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Kerja Raya, Datuk Ir. Shahelmey Yahya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Armizan Mohd. Ali, Pembantu Menteri Kerja Raya, Datuk Limus Juri dan Datuk Robert Tawik, ADUN Kawang, Datuk Ghulam Haidar Bahadar Khan, ADUN Limbahau, Datuk Juil Nuatim , Setiausaha Tetap Kementerian Kerja Raya, Datuk Ridhwan Roger Linus dan Pengarah Jabatan Air Sabah, Suhaimi Asbullah.



























