Persembahan sajak oleh Damia.
KINABATANGAN: Kekurangan diri bukan penghalang bagi golongan Orang Kurang Upaya (OKU) turut serta menyemarakkan Bulan Kebangsaan.
Persembahan koir oleh 10 pelatih dari Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Kinabatangan menerusi lagu, “Tanggal 31 Ogos” nyanyian Allahyarham Sudirman dan lagu, “Malaysiaku Gemilang” yang menjadi lagu tema Hari Kebangsaan ke-50 pada tahun 2007, cukup membuat audiens terharu dengan semangat mereka.
Selain itu, Program Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) Negeri Sabah 2023 Peringkat Daerah Kinabatangan turut menampilkan persembahan Tarian Daling-daling oleh sekumpulan pelajar dari Sekolah Kebangsaan Kota Kinabatangan yang meraih gelaran Johan Pertandingan Tarian Tradisional Sekolah Peringkat Daerah Kinabatangan.
Turut dipersembahkan, deklamasi puisi oleh Johan Pertandingan Puisi anjuran Perpustakaan Kinabatangan, Nur Damia Khairah Jeludin, 10, bertajuk “Pada Tanah Yang Indah” karya Datuk A. Samad Said.
Program yang diadakan di Perpustakaan Kinabatangan itu dirasmikan oleh Pegawai Daerah Abd Manap Abd Ruhim dan dihadiri oleh Timbalan Pengerusi Jetama Water Sdn Bhd, Datuk Juhari Janan yang juga menjadi rakan strategik program KMJG.