Hajiji (tiga dari kiri) bersama jemputan lain memotong riben bagi merasmikan restoran pandu lalu McDonald’s Jalan Sulaman 2, Kota Kinabalu, hari ini.
KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor merasmikan restoran pandu lalu McDonald’s Jalan Sulaman 2 di sini hari ini.
Beliau turut menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) di antara McDonald’s Malaysia dan Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) untuk membangunkan Hab Pembekalan Makanan Bersepadu yang lengkap untuk syarikat khidmat segera itu di Malaysia Timur.
MOU itu merupakan jalinan kerjasama yang akan menyaksikan pemerolehan empat ekar tanah di kawasan milik KKIP bagi pembinaan hab pembekalan makanan itu.

Hajiji menandatangani plak perasmian bagi merasmikan restoran pandu lalu McDonald’s Jalan Sulaman 2.
Hab ini akan melibatkan tiga pembekal utama McDonald’s Malaysia iaitu Bimbo QSR, Tyson Foods dan HAVI Logistics yang akan mendirikan kilang, gudang dan pusat penghantaran.
Menandatangani MOU itu bagi pihak McDonald’s ialah Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan, McDonald’s Malaysia, Dato’ Azmir Jaafar, manakala KKIP diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Laurence Kimkuan, Bimbo QSR diwakili oleh Naib Presiden Transformasi Global, Natasha Galavotti, Tyson Foods diwakili oleh Naib Presiden, Unit Perniagaan Malaysia, Victor Sim dan HAVI Logistics Malaysia diwakili oleh Timbalan Pengurus Besarnya, Dominic Alexander Lopez.

Hajiji menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) diantara McDonald’s Malaysia dan Kota Kinabalu Industrial Park (KKIP).
Hajiji menyambut baik rancangan McDonald’s mewujudkan Hab Pembekalan Makanan Bersepadu di KKIP dan membuka lebih banyak restorannya di Sabah kerana ia bukan sahaja dapat membantu merancakkan lagi aktiviti ekonomi setempat, malah turut mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan untuk rakyat tempatan.
“Kerajaan Negeri juga mengalu-alukan usahasama antara syarikat-syarikat franchise dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri bagi menerokai potensi perniagaan yang akan memberi manfaat kepada negeri ini,” katanya.

Hajiji menyaksikan penyerahan zakat korporat oleh Azmir kepada Setiausaha Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), Ramlan Awang Ali sempena Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara McDonald’s Malaysia dan Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) dan perasmian restoran pandu lalu McDonald’s Jalan Sulaman 2.
Dalam majlis sama, McDonald’s Malaysia turut menyerahkan pembayaran zakat perniagaan sebanyak RM100,000 kepada Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) untuk diagihkan kepada golongan asnaf di Sabah.
Turut hadir ialah Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan (MIDE), Phoong Jin Zhe yang juga Pengerusi KKIP, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Sr. Safar Untong dan Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Noorliza Awang Alip.





























