Jainisah (empat dari kiri) menyerahkan Jalur Gemilang kepada Soje
SANDAKAN: Jalur Gemilang berkibar di ruang udara semasa program Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) Peringkat Daerah.
Kibaran menggunakan drone yang dikendalikan oleh pensyarah Institut Latihan Perindustrian Sandakan itu merupakan gimik majlis perasmian yang disempurnakan oleh Pengerusi Innoprise Capital Sdn Bhd, Datuk Jaffari William yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik.
Program sehari berkenaan turut menampilkan persembahan artis Pentarama Jabatan Penerangan (JaPen) Sabah, di samping pameran oleh pelbagai jabatan serta agensi kerajaan di Dewan PPR Batu Sapi.
Terdahulu, konvoi KMJG yang diketuai Pengarah Penerangan Negeri Sabah Jainisah Mohd Noor singgah di Wisma Persekutuan Sandakan untuk acara penyerahan Jalur Gemilang kepada Pengerusi Bangunan, Soje Abdul Hasan mewakili jabatan kerajaan di wisma berkenaan.
PPR Batu Sapi Sandakan menjadi destinasi ke-53 konvoi KMJG selepas menghabiskan perjalanan sejauh 1,835 kilometer meliputi kawasan pantai barat Sabah hingga ke Lawas, Sarawak.