Nizam Abu Bakar Titingan
KOTA KINABALU: Perkara berkaitan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan datang belum lagi dibincangkan oleh pimpinan tertinggi dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS), kata Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.
Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) itu berkata, ini kerana fokus Kerajaan Perpaduan GRS Plus Sabah pada masa ini ialah untuk terus komited melaksanakan segala agenda pembangunan negeri dan rakyat Sabah selaras dengan Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
“Kerajaan Sabah di bawah kepimpinan Datuk Seri Hajiji Haji Noor selaku Ketua Menteri adalah stabil dan berjalan dengan baik atas sokongan semua pihak dari GRS dan Pakatan Harapan (PH) Sabah.
“Kita hargai dan berterima kasih atas kerjasama yang telah diberikan oleh rakan-rakan pimpinan PH Sabah terutama sekali semasa kita menghadapi ‘Langkah Kinabalu’ pada awal tahun ini iaitu krisis politik yang ditimbulkan oleh Parti Warisan dan sebahagian pimpinan UMNO Sabah
“Sokongan dan kerjasama yang telah terjalin dalam kerajaan Perpaduan GRS Plus hari ini dapat diperkukuh dan diteruskan demi kebaikan rakyat dan kepentingan negeri Sabah tercinta,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Nizam merujuk kepada kenyataan media Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Seri Yong Teck Lee berkenaan dengan cadangan partinya agar GRS bertanding di kesemua 73 kerusi DUN Sabah.
Nizam berkata, kenyataan Yong itu adalah merupakan pandangan peribadi beliau dan SAPP.
“Kita menghormati pandangan beliau ini namun ia bukanlah melambangkan pandangan GRS secara kolektif,” katanya.