Persembahan koir oleh kakitangan hospital menyambut ketibaan peserta konvoi.
KENINGAU: Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) Negeri Sabah 2023 memecah tradisi apabila buat kali pertama menjadikan hospital sebagai hentian.
Timbalan Pengarah Penerangan Sabah Supian Musa berkata konvoi anjuran Jabatan Penerangan (JaPen) yang bermula sejak tahun 2002 itu tidak pernah menjadikan hospital sebagai salah satu hentian dalam mengelilingi Sabah.
“Kita ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak Hospital Keningau kerana sejak tahun 2002, KMJG dilaksanakan oleh JaPen di Sabah ini adalah kali pertama hospital dipilih menjadi lokasi persinggahan konvoi KMJG.
“Sebelum ini kita tidak pernah memilih hospital menjadi lokasi persinggahan”, katanya.
“Apa yang menarik sepanjang persinggahan kita di Hospital Daerah Keningau ini adalah kita terus mengadakan lawatan sambil menyampaikan hadiah berupa hamper kepada ibu yang bersalin dari tarikh 1 Ogos sehingga 11 Ogos 2023.
“Ia merupakan satu perkara yang baru kepada JaPen khususnya membawa konvoi KMJG untuk singgah di hospital kerana kita sedia maklum hospital merupakan tempat pesakit menerima rawatan dan kehadiran kita mungkin boleh mengganggu sesi rawatan ataupun mengganggu pesakit secara langsung.
“Bila saya bertanya kepada pengarah hospital beliau menyatakan ianya tidak mengganggu sesi rawatan mahupun pesakit kerana pihak hospital akan memilih satu kawasan yang sesuai untuk dijadikan lokasi persinggahan dan pihak hospital sendiri mengalu-alukan pihak konvoi kerana ingin turut serta menggelorakan bulan kebangsaan”, katanya lagi.
Pelepasan Konvoi KMJG yang diketuai Pengarah Penerangan Sabah Jainisah Mohd Noor itu disempurnakan oleh Pengarah Hospital Keningau Dr Loly Mealonny.



























