Keadaan di lokasi kejadian. – Ihsan Bomba
TENOM: Lima orang termasuk tiga kanak-kanak cedera dalam kemalangan melibatkan dua buah kenderaan jenis Proton Persona dan Honda HRV yang bertembung di sini malam tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tenom, PPgB Mohd. Zainal Sinsian berkata, kejadian itu berlaku di Kampung Lagud, pada jam 10.35 malam.
Katanya, panggilan kecemasan diterima menerusi talian balai dan sepasukan 10 anggota diketuai Komander Operasi, PPgB Mohd. Zainal Sinsian dikejarkan ke lokasi.

“Setiba di tempat kejadian sejauh 55 kilometer dari BBP itu, didapati berlaku satu kemalangan melibatkan dua buah kenderaan jenis Proton Persona dan Honda HRV.
“Terdapat empat orang mangsa di dalam Proton Persona termasuk tiga kanak-kanak dan seorang mangsa di dalam kenderaan Honda HRV dilaporkan mengalami kecederaan,” katanya.
Zainal berkata, semua mangsa telah dihantar ke hospital menaiki ambulans untuk mendapatkan rawatan selanjutnya.
“Pasukan bomba seterusnya menjalankan pemeriksaan di kawasan kemalangan untuk memastikan tiada lagi bahaya lain sebelum menamatkan operasi jam 11 malam,” katanya.