Phoong Jin Zhe
KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan, Phoong Jin Zhe berkata, perancangan untuk membekalkan tenaga elektrik kepada syarikat SK Nexilis Malaysia Sdn Bhd (SK Nexilis) telah dimulakan dan dipersetujui pada tahun 2021 lagi.
Menurutnya, Perjanjian Bekalan Tenaga Elektrik (Electricity Supply Agreement) yang ditandatangani di antara Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) dan SK Nexilis telah dimeterai pada 17 Julai 2023 setelah ianya diteliti dan diluluskan oleh Suruhanjaya Tenaga Malaysia.
“Perjanjian Bekalan Tenaga Elektrik ini adalah amalan lazim dalam memberikan perkhidmatan pembekalan elektrik kepada mana-mana pengguna dan bukannya melalui Memorandum Persefahaman (MoU).
“Perjanjian tersebut telah mengambil kira keperluan bekalan tenaga elektrik oleh SK Nexilis di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) secara berperingkat bermula dengan 5MW pada tahun 2023 dan hanya akan mencapai kehendak maksima 70MW pada sekitar pertengahan tahun 2024,” katanya kepada pertanyaan Datuk Seri Mohd. Shafie
Apdal (Senallang) pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini hari ini.
Mohd. Shafie meminta Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan untuk menjelaskan secara terperinci kandungan MoU yang ditandatangani dengan SK Nexilis.
Phoong berkata, Mesyuarat Jawatankuasa Perancangan dan Pelaksanaan Pembekalan Elektrik dan Tarif (JPPPET) Sabah yang dipengerusikan bersama oleh Ketua Menteri Sabah dan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) telah meluluskan cadangan pembangunan loji janakuasa baharu di Pantai Barat Sabah dengan kapasiti sebanyak 100 Megawatt (MW).
“Tujuannya ialah bagi menampung keperluan SK Nexilis dan pengguna-pengguna domestik yang lain,” katanya.
Selain itu katanya, Mesyuarat JPPPET Sabah juga telah meluluskan pelaksanaan projek fast-track iaitu penyewaan dua set penjanaan Powership dengan jumlah kapasiti 224MW di Pantai Timur Sabah yang dijangka akan mula beroperasi pada bulan Oktober 2023 bagi menampung keperluan semasa.
“Disamping itu, cadangan projek-projek penjanaan bekalan tenaga elektrik lain yang telah diputuskan dalam mesyuarat JPPPET tersebut akan juga dilaksanakan mengikut jadual bagi memastikan kapasiti penjanaan terus kukuh di Sabah,” katanya.





























