Fairuz Renddan
KOTA KINABALU: Seramai 2,893 usahawan belia telah menerima bantuan dana melalui Skim Jaya Usahawan Belia Sabah (SYABAS) setakat ini, kata Pembantu Menteri Belia Dan Sukan, Datuk Fairuz Renddan
“Kementerian saya telah memberi bantuan kepada usahawan-usahawan belia. Skim SYABAS ini akan diteruskan pada tahun ini dan permohonan akan dibuka tidak lama lagi,” katanya ketika menjawab pertanyaan Datuk Annuar Ayub (Liawan) pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini hari ini.
Annuar bertanya kepada Menteri Belia dan Sukan apakah langkah-langkah Kerajaan untuk membantu golongan berkenaan dan berapa ramaikah usahawan kecil di Sabah yang telah mendapat sijil pengiktirafan halal untuk produk yang mereka keluarkan.
Fairuz berkata, Kementeriannya juga menyediakan latihan secara spesifik kepada usahawan-usahawan belia yang memulakan atau mengembangkan kemahiran (skill) mereka dalam bidang seni kreatif jahitan.
“Kementerian saya telah menyediakan tujuh Pusat Kelas Seni Kreatif Jahitan yang dijalankan di bangunan Arena Belia di Kota Kinabalu, Papar, Keningau, Sandakan, Ranau, Kudat dan Beaufort.
“Kelas jahitan ini dikendalikan oleh tujuh orang jurulatih jahitan yang bertauliah. Peserta-peserta kelas ini adalah ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan termasuk makan minum, peralatan dan kemudahan tempat tinggal,” katanya.
Berkenaan pensijilan halal, Fairuz memberitahu , Kementeriannya telah mendapat maklumat daripada Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) bahawa bilangan syarikat yang diberi Sijil Halal di Sabah pada tahun 2023 adalah sebanyak 510 buah syarikat.
“Pihak saya telah memohon secara rasmi kepada pihak MUIS untuk memberikan senarai syarikat-syarikat tersebut bagi membolehkan Kementerian saya dapat menyemak dari aspek umur pemilik syarikat-syarikat tersebut dengan mengambil kira definisi belia negeri Sabah yang berumur antara 18 hingga 40 tahun.
“Kementerian saya akan menyampaikan jawapan secara bertulis kepada Ahli Yang Berhormat selepas membuat semakan status umur pemilik-pemilik syarikat tersebut,” katanya.
Fairuz berkata, beliau telah pun memaklumkan kepada Jemaah Menteri Negeri supaya kursus-kursus dan latihan-latihan yang dilaksanakan perlu diselaraskan supaya tidak berlaku pertindihan program antara kementerian atau agensi yang menganjur.
“Saya telah dimaklumkan bahawa tindakan mengenai perkara ini telah pun diambil perhatian oleh pihak Kerajaan Negeri,” jelas beliau.