PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerima 11 laporan salah laku berkaitan Pilihan Raya Negeri (PRN) sepanjang kempen sehingga semalam.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berkata, dua laporan itu diterima di ibu pejabat SPRM manakala sembilan lagi di pejabat negeri.
“Kita akan meneliti setiap laporan tersebut sebelum melihat keperluan untuk menyiasat atau sebaliknya,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Tamat Latihan Kursus Asas Pegawai SPRM Siri 27 BIL. 2/2022 di Padang Kawad, Menara Penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Dalam majlis tersebut, seramai 75 pegawai kadet penguasa Gred 41 tamat latihan kursus asas selama sembilan bulan.
Ketika ditanya berkaitan dakwaan calon PRN di Terengganu memberi sogokan berjumlah RM200 kepada anggota polis, beliau berkata setakat ini tiada sebarang laporan diterima.
Dalam pada itu, Azam menegaskan, pihaknya boleh mengambil tindakan terhadap mana-mana kesalahan membabitkan sogokan atau wang atau pemberian wang di bawah Seksyen 10 Akta Kesalahan Pilihan Raya.
“Di bawah Seksyen 10 itu telah dikuat kuasa di bawah Akta SPRM 2009 iaitu membabitkan kesalahan pemberian wang atau sebagainya kepada pengundi-pengundi bagi tujuan menyokong sesuatu parti. Ia satu kesalahan yang lazim.
“Mereka (calon) perlu faham undang-undang ini yang telah wujud sejak 1954 lagi. Saya percaya mereka ini berpengetahuan dan berpelajaran tinggi,” katanya.
Sementara itu, Azam mengingatkan pegawai-pegawai baharu agar tidak menjadi duri dalam daging yang akan meruntuhkan organisasi suruhanjaya tersebut.
“Perkara ini biasa, mana-mana jabatan akan ada mereka yang tidak berintegriti. Ini peringatan pada saya dan pegawai-pegawai supaya bersih rasuah,” ujarnya.