Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor (kanan) bersama Timbalan-timbalannya, Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan, Datuk Seri Panglima Dr. Joachim Gunsalam dan Datuk Ir. Shahelmey Yahya serta Menteri Kabinet yang lain sebelum bermulanya sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di Kota Kinabalu hari ini.
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan melalui mesyuarat Jawatankuasa Perancangan dan Pelaksanaan Pembekalan Elektrik dan Tarif (JPPPET) Sabah telah meluluskan Pelan Pembangunan Penjanaan bagi memenuhi keperluan permintaan pengguna.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, mesyuarat JPPPET itu dipengerusikan bersama oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor dan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) pada 12 Jun 2023.
Jelasnya, Pelan Pembangunan Penjanaan telah mengambil kira:
(i) pertumbuhan organik (iaitu unjuran penambahan keperluan beban yang lazim yakni peningkatan pengguna domestik dan pengguna kategori lain yang kecil), dan
(ii) keperluan beban ‘Step Load’ oleh pengguna dari industri besar yang komited.
Manakala strategi perancangan di dalam Pelan Pembangunan Penjanaan adalah dibahagi kepada tiga fasa iaitu:
(i) Fasa Penyelesaian Segera (2023 – 2025) adalah untuk mencapai jidar simpanan penjanaan ke tahap kukuh iaitu 30 peratus. Dengan erti kata lain, simpanan penjanaan perlu mempunyai lebihan 30 peratus (sekitar 300 Megawatt) berbanding beban maksima grid Sabah (yang kini telah mencecah hampir 1,100 Megawatt). Untuk tujuan ini, beberapa projek fast–track telah diputuskan termasuk projek penyewaan powership berkapasiti 224 Megawatt yang akan beroperasi di pantai timur Sabah pada penghujung tahun ini. Manakala, pelbagai tindakan mitigasi yang lain sedang dan akan dilaksanakan bagi meningkatkan tahap kebolehharapan loji jana kuasa sedia ada.
(ii) Fasa Penyelesaian Jangka Sederhana (2026 – 2030) adalah antara lain melibatkan penambahan kapasiti penjanaan daripada sumber hidro berjumlah sekitar 400 Megawatt, projek solar berskala besar berjumlah 100 Megawatt dan lain-lain projek penjanaan. Di samping itu terdapat juga projek talian penghantaran utama 275 kiloVolt iaitu penyiapan talian penghantaran sambung tara grid Sabah dengan Sarawak dan projek talian penghantaran Southern Link yang akan menghubungkan Sipitang dengan Tawau. Ini akan mengukuhkan kapasiti dan kestabilan grid Sabah untuk menerima permintaan beban besar terutamanya pengguna–pengguna industri pada masa akan datang.
(iii) Fasa Penyelesaian Jangka Panjang (Selepas 2030) adalah tertumpu kepada mempertingkatkan potensi hidro elektrik di negeri Sabah melalui hasil kajian Pelan Pembangunan Hidro yang sedang dilaksanakan oleh EnergyCommission of Sabah (ECoS). Di samping itu, penerokaan ke atas teknologi dan sumber penjanaan baharu akan juga dilaksanakan seperti Geothermal, Wind, Hydrogen dan Battery Energy Storage System (BESS). Perancangan sambung tara talian penghantaran di antara Sabah dan Kalimatan Utara akan juga diterokai berdasarkan hasil kajian kebolehlaksanaan yang akan dibuat pada tahun ini.
“Kerajaan Negeri akan mengambil alih kuasa kawal selia Pembekalan Elektrik dan Tenaga Boleh Baharu pada 3 Januari 2024 melalui Persidangan Khas Dewan Undangan Negeri (DUN) dan seterusnya pewartaan Enakmen Bekalan Elektrik 2024, Enakmen Tenaga Boleh Baharu 2024 serta pindaan Enakmen Suruhanjaya Tenaga Sabah (dengan tambahan fungsi kawal selia elektrik dan tenaga boleh baharu) pada hari tersebut,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, hari ini.
Nizam menjawab pertanyaan daripada Dr. Daud Yusof (Bongawan) yang bertanya kepada Ketua Menteri apakah hala tuju penambahan kapasiti penjanaan tenaga elektrik di Sabah berbanding permintaan pengguna.