Limus Jury
KOTA KINABALU: Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah telah menerima sejumlah 141 projek (RM1,635,525,165.52) pembangunan persekutuan bernilai sehingga RM50 juta daripada pelbagai kementerian.
Pembantu Menteri Kerja Raya, Datuk Limus Jury berkata, daripada jumlah tersebut, 61 projek dengan kos RM 8,967,000.00 mendapat pengecualian ke atas AP182 kepada semua Kementerian/Agensi Pelaksana sehingga di peringkat negeri dan daerah dengan had nilai sehingga RM1 juta bagi projek penyelenggaraan dan pembaikan kecil.
Manakala enam projek dengan kos RM74,825,000 diberikan pengecualian berdasarkan permohonan yang dibuat oleh pihak agensi pemilik, tambahnya.
Oleh yang demikian, katanya, jumlah akhir projek yang dilaksanakan oleh JKR Sabah adalah sebanyak 74 dengan kos projek RM1.55 bilion (RM1,551,733,165.52).
“Daripada 74 projek, 35 projek dijangka tender pada tahun 2023 dan 39 projek pada tahun 2024. Pada tahun 2023, status pelaksanaan adalah di peringkat kerja awalan,” katanya ketika menjawab pertanyaan daripada Datuk Dr. Yusof Yacob (Sindumin) pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini hari ini.
Dr. Yusof bertanya kepada Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Kerja Raya berapakah bilangan projek mengikut kementerian yang telah dilaksanakan berikutan projek RM50 juta ke bawah yang diluluskan oleh Perdana Menteri dan diserahkan kepada Kerajaan Negeri Sabah untuk dilaksanakan, dan apakah status terkininya, adakah telah di laksanakan pada tahun ini.





























