Shahelmey (kanan) berbincang dengan Yong pada sidang DUN Sabah di sini hari ini.
KOTA KINABALU: Terdapat peningkatan terhadap kestabilan tekanan air di kawasan- kawasan Kota Kinabalu dan ia telah menjadikan agihan bekalan air agak terkawal berbanding bulan-bulan sebelumnya, kata Menteri Kerja Raya, Datuk Ir. Shahelmey Yahya.
Beliau berkata, walaupun peruntukan menjadi isu buat seketika, tetapi sebenarnya Jabatan Air Negeri Sabah telah memulakan ataupun membentuk satu jawatankuasa khas untuk program pemulihan dan penstabilan tekanan air khusunya di kawasan Kota Kinabalu meliputi Tuaran, KK dan juga Putatan.
“Daripada kerja-kerja yang telah dilakukan (pemulihan) pada bulan Jun 2023 sehingga kini, kita dapat melihat adanya peningkatan terhadap kestabilan tekanan air di kawasan- kawasan Kota Kinabalu dan ia telah menjadikan agihan bekalan air agak terkawal berbanding bulan-bulan sebelumnya.
“Dengan ada kelulusan daripada Kabinet Negeri Sabah, kita akan memulakan kerja-kerja panggilan tender dan sebagainya untuk lapan aktiviti yang telah dikenal pasti itu.
“Kita berharap hasilnya nanti agihan bekalan air di kawasan Kota Kinabalu dan beberapa tempat yang lain akan menjadi stabil,” katanya ketika menjawab pertanyaan tambahan daripada ADUN Dilantik, Datuk Seri Yong Teck Lee pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini hari ini.
Yong bertanya apakah perkembangan peruntukan pembangunan khas bagi isu bekalan air di Sabah yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri dan adakah sudah diterima serta sejauh manakah pelaksanaannya.
Selain itu, beliau juga bertanya bolehkah Menteri mengesyorkan pelaksanaannya dipercepatkan dan bilakah pelaksanaannya?
Shahelmey berkata, penyaluran peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan belum lagi dibuat.
“Namun demikian Kerajaan Negeri Sabah telah bersetuju untuk memastikan Jabatan Air dapat memulakan program-program yang telah dirancang. Ini bukan isu teknikal, hanya isu pemerolehan kewangan. Selepas mendapat keputusan daripada Kabinet Negeri Sabah, Jabatan Air bersedia untuk melaksanakan lapan inisiatif yang telah dipersetujui dengan jawatankuasa teknikal di peringkat Persekutuan,” jelasnya.
Terdahulu, Shahelmey berkata, Kerajaan Negeri telah membentangkan Taklimat Isu dan Cabaran Pengurusan Bekalan Air Terawat Negeri Sabah kepada YAB Perdana Menteri Malaysia pada 1 Jun 2023 di Putrajaya.
Menurutnya, Kerajaan Negeri Sabah telah membentangkan 20 projek cadangan penyelesaian jangka pendek terpilih dengan anggaran jumlah keseluruhan kos RM300.25 juta.
“Susulan daripada itu, Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Pasukan Petugas Khas Isu Bekalan Air Sabah Bil 1/2023 telah diadakan pada 13 Jun 2023 telah memperakukan lapan projek dengan jumlah kos RM185 juta daripada 20 projek yang telah dipohon.
“Baki 12 projek tidak diperakukan oleh Jawatankuasa Teknikal kerana ianya melibatkan operasi dan penyenggaraan berdasarkan kriteria yang ditetapkan di bawah Garis Panduan Penyediaan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) 2021-2025.
“Namun begitu, Jawatankuasa Teknikal mengambil maklum hasrat Kerajaan Negeri Sabah untuk memohon pertimbangan Pasukan Petugas Khas untuk meluluskan kesemua 20 projek jangka pendek, kerana kesemua projek tersebut adalah saling berkait dan akan menyelesaikan isu air dalam jangka masa pendek Sabah secara menyeluruh,” jelasnya.
Seterusnya, pada 21 Jun 2023 satu Mesyuarat Pasukan Petugas Khas Isu Bekalan Air Kelantan dan Sabah Bil.1/2023 telah diadakan di Kementerian Ekonomi Persekutuan bagi membincangkan hala tuju dan kaedah pembiayaan dan pelaksanaan projek-projek yang telah disyorkan oleh Kerajaan Negeri Sabah.
“Perkembangan pada masa ini, peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan belum disalurkan.
“Oleh itu, Mesyuarat Jemaah Menteri Negeri pada 26 Julai 2023 telah bersetuju supaya peruntukan kewangan dari Kerajaan Negeri digunakan terlebih dahulu bagi pelaksanaan keutamaan pembangunan khas ini.
“Di samping itu juga, pihak Jabatan Air Negeri Sabah telah memulakan kertas kerja penyediaan pra-pelaksanaan projek sebagai persediaan untuk pelaksanaan projek sejurus kelulusan peruntukan disalurkan,” katanya.