Phoong Jin Zhe
KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan sedang giat merangka Dasar Biomass Sabah.
Menterinya, Phoong Jin Zhe berkata, melalui pewujudan dasar ini, Kerajaan Negeri bercadang untuk membangunkan sebuah pusat pengumpulan biomass dan melantik sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk mengurus dan mengumpul biomas ini.
“Menerusi pewujudan pusat pengumpulan ini, ianya sudah pasti dapat mewujudkan pembekalan sumber bahan mentah biomass (feedstock) yang konsisten dan berterusan. Ini sudah pasti akan menarik minat pelabur untuk melabur dalam industri ini di Negeri Sabah,” katanya.
Menurutnya, lanjutan daripada pewujudan dasar tersebut, Kerajaan Negeri juga bercadang untuk mewujudkan enakmen berkaitan biomass agar kuasa kawal selia berkaitan industri ini adalah terletak di bawah Kerajaan Negeri.
“Industri biomass yang kerap kali dibincangkan di dalam sidang DUN ini juga mempunyai potensi yang besar terutamanya dalam menghasilkan produk bernilai tambah tinggi.
“Diharapkan agar usaha ini dapat menarik lebih banyak pelaburan dalam industri ini sekaligus mempercepatkan pertumbuhan sektor perindustrian di Sabah.
“Berdasarkan penelitian Kementerian saya, biomas kelapa sawit tidak tertakluk di bawah kawal selia mana-mana pihak Kerajaan Negeri atau Persekutuan,” katanya kepada pertanyaan Calvin Chong Ket Kiun (Elopura) pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini hari ini.
Calvin bertanya kenapa pihak kementerian tidak melantik satu syarikat bukan berkaitan kerajaan (GLC) untuk sementara waktu sebelum penubuhan Sabah Palm Oil Board (SPOB) bagi megetuai pengurusan industri kelapa sawit di Sabah.
Phoong berkata, ssememangnya Kerajaan Negeri melihat keperluan dan berhasrat untuk mengawal selia industri kelapa sawit yang mempunyai potensi besar untuk dibangunkan di Sabah terutamanya dalam industri hiliran.
“Walau bagaimanapun, kuasa kawal selia berkaitan industri kelapa sawit di Malaysia adalah di bawah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) melalui Akta Lembaga Sawit Malaysia 1998 yang merangkumi huluan dan hiliran industri kelapa sawit.
“Menyedari akan hal ini, Kementerian saya telah mengambil langkah proaktif untuk mengadakan kunjungan hormat kepada YAB Timbalan Perdana Menteri Malaysia merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Haji Fadillah Yusof bagi membincangkan mengenai pembangunan industri hiliran minyak kelapa sawit di Sabah.
“Sehubungan itu, Kementerian saya akan terus mengadakan perbincangan dengan pihak-pihak berkepentingan untuk memastikan industri hiliran ini akan terus berkembang di Sabah,” katanya.