Petugas kesihatan menjalankan pemeriksaan sebelum menyuntik vaksin kepada penduduk di sebuah pusat kesihatan di Jakarta.
LONDON: Pasukan saintis mendedahkan penemuan varian Covid-19 di Indonesia dengan kadar mutasi paling banyak pernah direkodkan.
Virus Covid-19 daripada varian Delta yang dikumpul daripada pesakit di Jakarta didapati mempunyai 113 mutasi unik.
Jumlah tersebut hampir dua kali ganda daripada varian Omicron yang sebelum ini memegang rekod sekitar 50 mutasi.
Menurut Utusan Malaysia, sebanyak 37 daripada perubahan varian Delta yang ditemukan di Indonesia dilihat menjejaskan protein spike yang digunakan oleh coronavirus untuk menjangkiti manusia.
Penjejak virus menganggap strain yang tidak dinamakan itu merupakan yang paling ekstrem pernah dilihat sejak pandemik tercetus.
Strain baharu berkenaan diserahkan kepada pangkalan data genomik Covid global pada awal Julai lalu dan dipercayai dicetuskan oleh kes jangkitan kronik.
Pakar Virologi Universiti Warwick, Profesor Lawrence Young berkata, tidak jelas sama ada strain berkenaan berpotensi untuk berlanjutan dan menjangkiti orang lain namun boleh mencetus ancaman baharu kepada pesakit kronik.
“Apabila virus itu merebak dan terus bermutasi, ia pasti akan mengakibatkan jangkitan serius kepada mereka yang paling terdedah dan meningkatkan risiko kepada mereka yang mengalami jangkitan jangka panjang,” katanya.