Taylor Swift
SEATTLE: Konsert jelajah Eras oleh penyanyi pop terkenal, Taylor Swift di Seattle minggu lalu dilaporkan menjana aktiviti seismik yang setara dengan gempa bumi berukuran 2.3 magnitud.
Menurut Utusan Malaysia, Ahli Seismologi Universiti Western Washington, Jackie Caplan-Auerbach membuat perbandingan aktiviti seismik ketika konsert Swift berlangsung pada 22 dan 23 Julai lalu dengan kumpulan data kekuatan gempa bumi di barat laut Pasifik.
Malah katanya, gegaran yang digelar ‘Seismik Swift’ itu dua kali ganda lebih kuat berbanding fenomena sorakan ‘Beast Quake’ yang catatkan penonton ketika pasukan bola Seattle Seahawks menentang New Orleans Saints di lokasi sama.
“Saya mengambil data dari kedua-dua malam konsert itu dan dengan cepat menyedari bahawa ia mempunyai corak isyarat yang sama.
“Jika saya membandingkannya di atas satu sama lain, ia hampir sama,” katanya kepadaCNN.
Menurut Caplan-Auerbach, tarian, sorakan dan dentuman muzik daripada kedua-dua malam konsert itu mendorong kira-kira 10 jam tenaga besar-besaran ke dalam tanah untuk menjana aktiviti seismik tersebut.
Tiket konsert Swift yang berlangsung di Lumen Field habis dijual pada kedua-dua malam dengan kehadiran 72,171 peminat sekali gus memecah rekod tertinggi jumlah penonton seramai 70,000 orang yang catatkan oleh kumpulan muzik, U2 pada tahun 2011.
Siri jelajah Eras yang dijalankan Swift merupakan salah satu penganjuran konsert paling mahal yang menelan belanja lebih AS$100 juta (RM455 juta).
Swift akan menemui peminat di California sebelum memulakan siri jelajah antarabangsanya pada 24 Ogos ini di Mexico City.